http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Kegagalan sistem pengangkutan bas di Pulau Pinang:  MPPP dan Kerajaan Negeri harus bertanggungjawab sepenuhnya



Kenyataan Akhbar
oleh Wong Hon Wai

(Penang, Jumaat): Sistem bas baru yang dilancarkan di Pulau Pinang pada 1hb April 2006 merupakan satu kegagalan yang amat memalukan. Penumpang-penumpang bas terkeliru dengan sistem yang baru dan terpaksa menunggu lama sebelum sampai ke destinasi mereka. Tambahan pula, tambang bas telah naik di beberapa destinasi dan ini sememangnya membebankan rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, telah menyatakan dalam media seperti yang dilaporkan pada 6hb April 2006,  bahawa tugas Kerajaan Negeri hanyalah menyediakan rangka kerja sistem bas yang baru dan bukan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan rangka kerja tersebut.  Dr Koh telah merujuk kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perniagaan (Commercial Vehicles Licensing Board, CVLB), sebuah badan statutori Persekutuan yang menguruskan pengeluaran lessen bas, sebagai badan yang bertanggungjawab.

Saya ingin mengingatkan Dr Koh bahawa adalah menjadi tugas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai kerajaan tempatan untuk memberi perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengguna di kawasan di bawah pentadbiran MPPP.

Seksyen 101(o) Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah jelas menyatakan bahawa, Kerajaan Tempatan adalah bertanggungjawab terhadap memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dalam kawasan  pentadbiran kerajaan tempatan dan juga kawasan sekitarnya.

Seksyen berkenaan berbunyi:

ˇ°The local authority shall have power subject to the provisions of any law relating to road traffic, to establish, acquire, maintain and carry on within or without the local authority area public transport servicesˇ±

Harus diingatkan bahawa Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perniagaaan 1987 hanyalah satu undang-undang berkenaan pelesenan dan bukan satu undang-undang berkenaan pengangkutan jalanraya seperti yang diertikan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sistem pengangkutan bas di Pulau Pinang adalah antara yang mundur berbanding dengan kota-kota antarabangsa yang maju di Europe, Singapura, Australia dan New Zealand. Ini bukan sahaja menjejaskan kegiatan harian dan produktivi penduduk Pulau Pinang malahan telah meninggalkan pengalaman yang tidak selesa kepada pelancong-pelancong asing.

MPPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dalam menyediakan satu sistem pengangkutan awam yang cekap kepada pengguna.
 

(07/04/2006)


*  Wong Hon Wai, Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: