http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Peruntukan Pengangkutan Bandar Tidak Ditunjukkan Dalam RMK-9


Ucapan Dalam Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-9
oleh Teresa Kok

(Parlimen, Rabu):  Isu pertama yang saya ingin bangkitkan dalam perbahasan saya ialah tentang pengangkutan bandar. Selepas kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 30 sen seliter, kita diberitahu bahawa kerajaan akan menggunakan RM4.4 billion yang dijimatkan setiap tahun ini untuk memajukan pengangkutan bandar. Ini bermaksud kerajaan akan menggunakan RM22 billion dalam 5 tahun yang akan datang untuk memajukan pengangkutan bandar. Malangnya, peruntukan ini langsung tidak muncul dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Dalam mukasurat 412 dalam Rancangan Malaysia Ke-9, Jadual 18-8 menunjukkan kerajaan hanya memperuntukkan RM1,565.5 juta ataupun lebih kurang RM1.5 billion bagi pengangkutan bandar, dan bukannya RM22 billion sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan.

Sekiranya kita baca perenggan di bawah tajuk Pengangkutan Bandar dalam mukasurat 404, kita akan mendapati bahawa selain daripada rancangan memanjangkan LRT di kawasan Bandar, peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk membina beberapa jalan di Bandar utama, ini termasuk di Georgetown, Seremban dan Johor Bahru.  Sekiranya RM1.5 billion ini digunakan untuk membina begitu banyak projek termasuk membina jalan raya, kita tahu ianya tentu tidak mencukupi, dan kata-kata Timbalan Perdana Menteri untuk memajukan pengangkutan bandar ini pun tentu akan gagal. 

Dalam perenggan 18.31 dalam mukasurat yang sama, kita lihat objektif yang ingin dicapai oleh kerajaan dari segi peningkatan penggunaan pengangkutan awam berbanding dengan kenderaan persendirian adalah nisbah 30:70. Sebenarnya matlamat ini adalah agak rendah sekiranya kita berbanding dengan negara-negara maju di mana nisbah di antara penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan persendirian ialah 50:50, dan nisbah 50: 50 sepatutnya dijadikan sasaran bagi Malaysia, khususnya di Lembah Klang sekiranya kerajaan berikhtiar untuk mengurangkan penggunaan petroleum dan mengurangkan kesesakan lalu-lintas di kawasan bandar. 

Perenggan 18.32 dalam RMK-9 berbunyi: “Satu suruhanjaya akan ditubuhkan bagi mengawal selia sistem pengangkutan awam di Lembah Klang. Suruhanjaya ini juga akan bertanggungjawab ke atas perancangan, penyelarasan dan pelesenan semua mod pengangkutan awam di Lembah Klang.”  Soalan saya ialah: saya telah baca tentang cadangan untuk menubuhkan “Urban Transport Authority” yang mempunyai fungsi yang disebutkan di atas dalam kenyataan Menteri Pengangkutan dalam dua tahun yang lepas, tetapi nampaknya suruhanjaya ini belum ditubuhkan dan kerajaan tidak mengambil apa-apa langkah untuk menyelaras dan menangani masalah pengangkutan awam sehingga ia disebutkan sekali lagi dalam RMK-9. Saya ingin tanya apakah tarikh tamat ataupun “deadline” bagi penubuhan suruhanjaya ini supaya masalah pengangkutan awam di Lembah Klang boleh ditangani dengan secepat mungkin.   

Datuk yang diPertua, di sini saya ingin tanya pihak kerajaan tentang satu laporan yang disiarkan di New Straits Times pada 16 April, iaitu tentang kerajaan akan menggunakan RM10 billion untuk memajukan sistem LRT di Lembah Klang dan kos lain akan dipungut daripada pasar permodalan (capital market). Apa yang saya rasa aneh ialah: i) kenapakah pengumuman yang begitu penting ini dibuat oleh CEO Syarikat Prasarana Negara Berhad dan bukannya Menteri Pengangkutan? Apakah ini bermaksud bahawa Kementerian Pengangkutan sebenarnya belum diberi tanggungjawab ataupun tugas untuk memajukan pengangkutan awam di Lembah Klang?  ii) Kenapakah wang perlu diambil daripada pasar permodalan? Apakah ini bermaksud bahawa kerajaan akan menswastakan pengangkutan awam lagi dan tidak terima ajaran daripada kegagalan penswastaan sistem LRT Putra dan Star yang lepas? 

Filem Saladin

Datuk yang diPertua, saya ingin minta Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi memberitahu kepada dewan yang mulia ini tentang projek filem Saladin. Kononnya filem itu telah memakan perbelanjaan sebanyak RM20 juta, tetapi pihak berkenaan hanya mampu menggunakan wang yang begitu banyak untuk mengeluarkan filem “Trailer” yang selama enam minit sahaja.

Filem Saladin merupakan tugas asas Creative Application Development Centre (CAD-C) di MDeC untuk melangkahi masuk ke industri animasi antarabangsa dengan menggunakan bakat tempatan, tetapi anehnya kononnya CAD-C membayar US $ 1 juta kepada seorang pengarang skrip Hollywood dan bukannya penulis skrip tempatan untuk menulis skrip pre-penerbitan, mengikut sumber dalam industri filem, kosnya adalah jauh lebih rendah daripada angka ini. Selain itu, pegawai MDeC juga menggunakan alasan ini untuk berulang-alik ke Amerika Syarikat sejak tahun 2000 dan ia telah memakan perbelanjaan yang amat tinggi manakala tiada apa-apa audit dijalankan terhadap projek “out-sourcing” ini.

MDeC membina Creative Multimedia Lab dengan kos RM5.2 juta atas alasan untuk  menggunakan peralatan yang canggih dan mahal untuk mengeluarkan Saladin, tetapi sebaliknya Creative Multimedia Lab ini hanya mampu mengeluarkan filem trailer selama enam minit sahaja selepas ia dirancang selama enam tahun, akhirnya, filem ini diberi kepada syarikat swasta iaitu Silver Ant Sdn. Bhd. and Imaginex Studios Sdn. Bhd untuk menjalankan penerbitan, dan Majalah “The Edge” yang bertarikh 17 April 2006 melaporkan bahawa “Silver Ant membuat animasi itu dalam masa tiga bulan manakala Imaginex membuat suara-bunyian (sound effects) dalam masa dua minggu.

Sekarang, filem Saladin telah ditukar menjadi siri filem TV, MDeC ingin minta peruntukan dana lagi bagi projek ini dalam RMK9. MDeC sebenarnya satu agensi kerajaan “one-stop” yang ditugaskan untuk membantu kemajuan sektor ICT di Malaysia. Kenapakah agensi ini membelanjakan wang yang begitu banyak untuk memasuki bidang penerbitan filem secara langsung dan bukannya menggubalkan dasar dan memberi insentif untuk menggalakkan syarikat  swasta menceburkan diri dalam bidang penerbitan file mini? Bukankah tindakan MDeC ini merupakan penyalahangunaan wang rakyat dan korupsi secara tidak langsung? 

Siaran Langsung Sidang Parlimen dan Laman Web Parlimen

Pemimpin kerajaan telah banyak berkata ingin memperkukuhkan lagi peranan Parlimen dan Perdana Menteri pula telah berkata bahawa beliau membenarkan Ahli Parlimen BN untuk bebas mengutarakan suara rakyat dalam sidang Parlimen. Soalannya ialah, kenapakah kerajaan dan Parlimen kita masih enggan mengadakan siaran langsung sidang Parlimen melalui TV seperti apa yang dilakukan di banyak negara maju? Apa yang ditakutkan oleh kerajaan dan ahli-ahli backbenchers kita? Sehubungan dengan itu, kita telah lama dengar daripada BN Backbenchers dan Menteri di JPM berkata bahawa Parlimen kita ingin mengadakan siaran langsung sidang Parlimen melalui laman web ataupun “web-casting“, tetapi ia masih belum diadakan. Saya merasa kesal bahawa pembaharuan Parlimen langsung tidak disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-9.   

Saya tidak ingin berucap panjang-lebar tentang pembaharuan Parlimen kita kerana saya hanya diberi 10 minit untuk berucap sekarang, tetapi saya ingin bercadang supaya Parliamentary Services Act dipulihkan dan sebagai langkah pertama, Parlimen kita harus sekurang-kurangnya memulakan web-casting  dengan secepat mungkin. Selain itu, saya juga mencadangkan supaya Parlimen kita mencontohi laman web Parlimen di Australia supaya ia lebih interaktif dan lebih “users friendly”, supaya laman web kita boleh menjadi satu laman yang suka dilawat oleh orang awam dan juga `researchers’.  Ini bermaksud laman web Parlimen kita harus dijadikan sebagai satu perpustakaan dalam internet yang merangkumi segala rang undang-undang yang telah diluluskan, video ucapan ahli berhormat, hansard harian kita dan juga maklumat berkaitan.

Saya ingin tanya apakah Parlimen kita diberi bajet untuk melancarkan laman web Parlimen kita? Apakah Parlimen kita akan mempraktikkan sikap demokrasi dengan mengadakan perundingan  dengan ahli-ahli berhormat sebelum ia dilaksanakan ataupun sebelum mana-mana kontraktor diupah supaya insiden seperti kebocoran bumbung bangunan Parlimen kita selepas diperuntukkan RM100juta ini tidak akan berulang lagi?

Free Trade Agreement Dengan Amerika Syarikat

Datuk yang diPertua, Menteri Perdagangan dan Perindustrian kita telah berkata bahawa Malaysia akan manandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat pada akhir tahun ini. Golongan NGO dan cendekiawan kita amat prihatin dan bimbang terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang akan ditandatangani di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, kerana banyak negara di dunia ini termasuk Negara China yang menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat membuat kesilapan dari segi pengiraan mereka sehingga negara-negara ini mengalami kerugian dari segi keseimbangan perdagangan mereka. Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan jangan menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat secara tergopah-gopah, tetapi kerajaan harus memberi taklimat berkenaan dengan FTA yang terperinci kepada semua ahli-ahli berhormat dan ia haruslah dibahaskan dan diluluskan di dewan yang mulia ini sebelum  perjanjian dimeterai dengan Amerika Syarikat.     

Penjagaan Alam Sekitar

Akhirnya saya ingin minta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memainkan peranan yang lebih gigih dan berusaha untuk meletakkan  penjagaan alam sekitar sebagai agenda nasional. Saya ingin memuji Menteri baru kita telah menunjukkan keprihatinannya terhadap isu alam sekitar, khususnya berkenaan dengan isu pengendalian sampah.  Saya ingin minta Jabatan Alam Sekitar supaya memainkan peranan yang lebih gigih untuk mendorong kerajaan tempatan dan rakyat untuk mempraktikkan kitar-semula dan menggalakkan kerajaan kita untuk menggantikan incinerator dengan Refuse-Derived Fuel (RDF).   

(19/04/2006)


*  Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: