http://dapmalaysia.org  
  
Forward  
 Feedback
    
| 
    
           
 
          Ucapan YB Teresa Kok Dalam 
          Perbahasan Usul Tergempar Mengenai Pencemaran Sungai Semenyih Oleh 
          Ammonia Yang Melibatkan 2 Juta Penduduk Di Kawasan Lembah Klang Pada 
          18 April 2006 
    
           Perbahasan  (Parlimen, Selasa): 
          Terlebih dahulu saya ingin berterima kasih kepada 
          Speaker Dewan Rakyat kerana memberi kebenaran bagi usul tergempar yang 
          berkenaan dengan pencemaran air 
          busuk ammonia di Sungai Semenyih yang telah menyebabkan loji rawatan 
          air di Semenyih terpaksa ditutup lebih daripada 12 jam pada 15 April 
          dibuka untuk dibahas, kerana lebih kurang 2 juta penduduk di 239 
          kawasan telah menghadapi masalah pemotongan air, ini termasuk penduduk 
          di Semenyih, Putrajaya, Cyberjaya, Bangi, Salak Tinggi, Tampoi, USJ, 
          Pulau Meranti, Seri Kembangan, Petaling, Sepang dan KLIA. 
           Mengikut laporan akhbar, kandungan 
          ammonia di Sungai Semenyih pada waktu itu telah mencapai tahap 
          berbahaya, iaitu 4.8 miligram seliter berbanding 1.5 miligram seliter 
          pada tahap normal. 
          Pencemaran Sungai Semenyih adalah berpunca daripada air kotor 
          (leachate) daripada pusat pelupusan sampah Sungai Kembong kepunyaan 
          Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Sisa sampah yang mengandungi ammonia 
          di pusat pelupusan sampah terbabit melimpah memasuki sungai akibat 
          benteng tanah yang menghalang sampah memasuki sungai, runtuh ketika 
          waktu hujan lebat. Datuk yang di 
          Pertua, ini bukan kali pertama di mana loji rawatan air di kawasan 
          Lembah Klang terpaksa ditutup kerana pencemaran air sungai di 
          Selangor, dan ini juga bukan kali pertama kita baca laporan di mana 
          air kotor (leachate) dari tapak pelupusan sampah melimpah masuk ke 
          sungai.  Pada 25 Februari 2006, iaitu dua 
          bulan yang lepas,  kita baca perkara yang sama telahpun berlaku di 
          Sungai Selangor 
          apabila kandungan ammonia yang tinggi iaitu 9.2 miligram  seliter 
          terdapat di sungai tersebut, menjadikan air dibekalkan kepada penduduk 
          Lembah Klang berbau busuk selama tiga minggu, tetapi malangnya, 
          perkara yang sama berulang sekali lagi dalam Sungai Semenyih kali ini. Sekiranya 
          kita baca laporan akhbar yang disiarkan dalam New Straits Times pada 
          16 April 2006, Pengarah Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn 
          Bhd Tan Sri Rozali Ismail berkata bahawa masalah pelimpahan masuk air 
          kotor telahpun berlaku di Sungai Semenyih pada dua tahun yang lepas 
          dari tapak pelupusan sampah yang sama. Beliau berkata syarikatnya 
          menghantar satu laporan setiap dua bulan kepada Majlis Perbandaran 
          Kajang dan beliau telahpun memberitahu kepada pihak berkuasa tempatan 
          berkenaan dengan masalah ini, tetapi nampaknya tiada apa-apa tindakan 
          diambil oleh Majlis Perbandaran Kajang mengenai masalah ini sehingga 
          perlimpahan air kotor (leachate) dari tapak pelupusan sampah ke sungai 
          berlaku sekali lagi.  Datuk yang 
          Dipertua, kita juga terbaca bahawa tapak pelupusan sampah di Sungai 
          Selangor dan Sungai Semenyih sebenarnya tidak mempunyai loji rawatan 
          air kotor (leachate treatment plant). Soalan yang saya ingin tanya 
          ialah, kenapakah ini boleh berlaku? Dalam kes pencemaran di Sungai 
          Semenyih, sekiranya Syabas telahpun memberitahu pihak kerajaan 
          tempatan tentang masalah perlimpahan air kotor ke dalam sungai, 
          kenapakah Majlis Perbandaran Kajang tidak mengambil tindakan untuk 
          menangani masalah ini dan mengelakkan pencemaran air sungai?   Datuk yang 
          diPertua, sebenarnya isu tentang pencemaran air sungai melibatkan 
          beberapa pihak dan beberapa kementerian, dan kita telah menyaksikan 
          percanggahan di antara agensi-agensi kerajaan ini. Dalam kes 
          pencemaran air Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60% 
          penduduk oleh tapak pelupusan sampah Bukit Tagar yang berlaku pada 
          bulan Februari tahun ini, kita terbaca bahawa kerajaan Negeri Selangor 
          dan  badan bukan kerajaan membantah tapak pelupusan sampah tersebut, 
          tetapi Kementerian kerajaan tempatan dan perumahan menghendaki tapak 
          pelupusan sampah itu diadakan demi menampung sampah-sarap di Lembah 
          Klang, dan Jabatan Alam Sekitar meluluskan EIA tapak pelupusan sampah 
          di Bukit Tagar tanpa menghirau bantahan dan amaran daripada pakar alam 
          sekitar.  Pada 
          September 2004, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata 
          bahawa air kotor daripada tapak pelupusan sampah akan dirawat dan ia 
          tidak akan mencemarkan air di Sungai Selangor, tetapi beberapa bulan 
          kemudian, iaitu pada Februari tahun ini, air kotor dari tapak 
          pelupusan sampah Bukit Tagar pun dialir keluar daripada paip air 
          rumah-rumah di Lembah Klang. Selepas itu, Jabatan Alam Sekitar pula 
          memberitahu kita bahawa tapak pelupusan sampah itu tiada perlengkapan 
          rawatan air kotor dan ia merupakan pencabulan terhadap EIA yang 
          diluluskan oleh mereka. Macam mana kerajaan boleh membenarkan tapak 
          pelupusan sampah yang dikendalikan oleh syarikat KUB-Berjaya Enviro 
          ini beroperasi tanpa memenuhi syarat EIA? Sekali lagi kita mendapati 
          bahawa kerajaan tempatan tidak menjalankan tanggungjawabnya untuk 
          memantau projek tapak pelupusan sampah tersebut supaya operator projek 
          tersebut mengikut kehendak EIA. Kesalnya, tiada sesiapa dari agensi 
          kerajaan memikul tanggungjawab dalam kes pencemaran air minuman dari 
          Sungai Selangor ini.  Datuk yang 
          diPertua, mengikut laporan yang disiarkan dalam New Straits Times pada 
          28 Mac 2006, ia melaporkan bahawa mengikut satu kajian yang dijalankan 
          oleh 3 syarikat konsesi iaitu Alam Flora, Northern Waste Industries 
          dan Southern Waste Management, kebanyakan daripada 144 tapak pelupusan 
          sampah di negara kita diletakkan di kawasan yang sensitif dari segi 
          alam sekitar, iaitu kebanyakan mereka berdekatan dengan sungai ataupun 
          di kawasan simpanan air.  Selain itu, 87 daripada tapak pelupusan 
          sampah ini beroperasi tanpa perlengkapan pengendalian sampah yang 
          wajar.  Walaupun kita 
          terbaca bahawa Kabinet telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang 
          dipengurusikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk meninjau masalah 
          ini, tetapi ini tidak dapat melegakan hati orang ramai di Lembah Klang 
          kerana hujan lebat yang turun tiap-tiap hari ini besar kemungkinan 
          akan mencetuskan perlimpahan masuk air kotor dari tapak pelupusan 
          sampah ke dalam sungai kita dan mencemarkan air sungai kita sekali 
          lagi.  
          Selain itu, isu 
          pencemaran air di Sungai Semenyih telah mencetuskan kebimbangan orang 
          ramai, khususnya penduduk di kawasan Semenyih tentang cadangan projek 
          insinerator yang besar yang akan didirikan di kawasan Semenyih. 
          Memandangkan Semenyih merupakan kawasan simpanan air yang penting bagi 
          penduduk di Lembah Klang, mereka bimbang sekiranya apa-apa berlaku 
          pada insinerator tersebut dalam masa yang akan datang, maka elemen 
          dioksin berkemungkinan akan melimpah masuk ke dalam sungai kita dan 
          merbahaya kepada kesihatan penduduk di Lembah Klang. Jadi saya 
          berharap insinerator ini boleh dipindah jauh dari kawasan simpanan air 
          ini.  
 
    
    
    
           
          
          (18/04/2006)
            
    *  
    
           Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh  |