http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Pekerja Yang Menyumbangkan 33% Kepada Pembangunan Ekonomi Negara Harus Mendapat Bahagian Yang Saksama Supaya Per Capita GNP Sebanyak RM 17,687 Pada 2005 Atau RM 1,500 Seorang Dapat Dinikmati Oleh Setiap Rakyat Malaysia.


Perutusan Hari Pekerja 2006
oleh Lim Guan Eng


(Petaling Jaya, Ahad):

DAP mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja dalam apa sahaja bidang tidak kira di sektor swasta atau awam, ataupun yang bekerja sendiri. DAP sedar bahawa kerajaan sering bercakap mengenai modal insan (human capital) dan kita menyokong usaha untuk membawa pekerja ke tahap yang lebih tinggi, professional, bermutu dan bermaruah.

 

Sememangnya modal insan adalah komponen paling penting bagi memastikan kejayaan ekonomi. Dalam kegiatan ekonomi hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui modal insan menyumbang sehingga 33% kepada peratus kepada pelaburan. Mengikut Rancangan Malaysia Ke-9, faktor pengeluaran ekonomi, sumbangan buruh(labour) telah naik daripada 24% pada tahun 1991 kepada 33% pada 2005. Sumbangan modal(capital) telah turun daripada 50% kepada 38% pada tempoh yang sama.

 

Adalah perlu pekerja yang menyumbangkan begitu besar kepada pembangunan Negara menikmati usaha mereka. Bahagian pendapatan isirumah 40% yang terendah berkurang daripada 14.5% pada 1990 kepada 13.5% pada 2004 manakala bahagian pendapatan isirumah 20% tertinggi meningkat daripada 50% kepada 51.2%. Pekali Gini yang mengukur perbezaan di antara terkaya dan termiskin telah merosot daripada 0.442 pada 1990 kepada 0.662 pada 2004.

 

Adalah dikesali Malaysia menghadapi masalah ketidaksaksamaan pengagihan kekayaan yang paling tidak adil di Asia Tenggara. Oleh itu adalah perlu pekerja yang menyumbangkan 33% kepada pembangunan ekonomi negara mendapat bahagian yang saksama supaya Per Capita GNP sebanyak 17,687 pada 2005 atau RM 1,500 sebulan seorang dapat dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia. Kerajaan harus berusaha menerusi kuasa pasaran yang adil untuk membolehkan setiap pekerja berpeluang menikmati titik peluh dan usaha mereka dengan menikmati RM 1,500 sebulan selari dengan per capita GNP 17,687 pada 2005.

 

DAP juga menyokong langkah-langkah kerajaan ke arah keterbukaan di mana kita sedang menyaksikan bagaimana sektor swasta diajak secara serius untuk membangunkan ekonomi negara selaras dengan kehendak positif globalisasi.

 

Kita mahu sektor swasta di Malaysia menjadi sektor yang bebas dan mampu menjana ekonomi negara tanpa bergantung kepada kronisme kerajaan. Kita mahu kerajaan yang bersih bagi memastikan kejayaan ekonomi turut dikongsi bersama dengan pekerja dan rakyat; dan bukannya kroni-kroni politik yang menceburkan diri dalam perniagaan sebagai habuan sokongan politik.

 

Kita tidak mahu lagi di mana kerajaan terpaksa menjadi bapa kepada sektor swasta – di mana syarikat-syarikat yang rugi telah diselamatkan oleh kerajaan melalui bail out, di mana kroni-kroni politik mendapat habuan perniagaan dan perdagangan, di mana merit diketepikan, di mana rasuah dan penyelewengan berleluasa.

 

Ini semua harus diubah. DAP tidak mahu pengswastaan yang dimulakan lebih 20 tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional diteruskan lagi kerana ia telah menjadi punca kesedihan dan penderitaan rakyat kerana terlalu banyak penyelewengan dan kerugian yang terpaksa ditanggung dengan menggunakan wang rakyat. Bagi DAP, pengswastaan ala Malaysia bukan pengswastaan yang sebenarnya, melainkan habuan kepada kroni-kroni kerajaan.

 

DAP juga memuji keberanian Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang telah memberi jaminan bahawa kerjasama kerajaan dengan sektor swasta bukan lagi beteraskan pengswastaan ala Malaysia yang hanya menguntungkan kroni-kroni kerajaan sahaja. Sekurang-kurangnya Abdullah bersetuju dengan kritikan DAP selama ini bahawa sejak 20 tahun lalu, keuntungan telah diswastakan tetapi kerugian telah dimiliknegarakan (profits were privatized but losses were nationalized).

 

DAP tidak bersetuju bahawa hanya syarikat-syarikat yang beruntung besar diswastakan sedangkan yang rugi tetap ditanggung dan dimiliki oleh kerajaan. Ini merugikan rakyat kerana menafikan peluang pulangan yang lumayan dan pekerja kerana syarikat yang sudah beruntung hanya boleh menambah keuntungan dengan mengurangkan pekerja. Ini berlaku dalam pengswastaan air seperti Pulau Pinang yang mencapai keuntungan besar dan diurus dengan baik tetap akan diambilalih.

 

Perdana Menteri juga telah menjanjikan bahawa tiada lagi bail out. DAP amat berharap janji ini bukan sekadar janji manis tetapi benar-benar dilaksanakan bagi kepentingan semua pihak, termasuk pekerja. Di sini DAP ingin meminta kerajaan supaya mengekalkan safety net untuk pekerja kerana kita tahu selama ini apabila berlaku kegagalan di kalangan syarikat dan majikan, terutama yang berkaitan dengan kerajaan seperti GLC, pekerja yang terpaksa menanggung beban.

 

Sememangnya DAP mahukan ekonomi negara yang sihat  dan dipacu oleh sektor swasta tetapi ia tidak bermakna kita harus membiarkan sektor swasta menguasai segala-galanya. Apatah lagi sektor swasta di Malaysia sering diwakili oleh kroni-kroni, yang antaranya langsung tidak layak mendapatkan sebarang kontrak.

 

DAP mahu ketelusan diperluaskan dan rasuah serta penyelewengan dihapuskan. Hanya keterbukaan seperti ini dapat meyakinkan rakyat, khususnya pekerja, untuk benar-benar bekerja keras bagi menjamin kejayaan syarikat serta negara. Jika kerajaan benar-benar jujur dalam melaksanakan sistem yang terbuka, telus, anti-rasuah dan penyelewengan serta mematuhi rule of law, tidak ada sebabnya mengapa pekerja tidak boleh sama-sama menyumbang ke arah perubahan yang positif ini.

 

Semoga perubahan positif ini juga menyedarkan kerajaan bahawa sistem yang memberi keutamaan kepada satu kaum, satu agama harus dihentikan, dan digantikan dengan sistem yang lebih adil melalui meritokrasi, dedikasi dan kemahiran tinggi.

 

(30/04/2006)      


* Lim Guan Eng,  Setiausaha Agung DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: