http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

4 Cadangan Utama Untuk Mempertingkatkan Integriti Di Malaysia.


Cadangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti
oleh Ean Yong Hian Wah.

(Parlimen, Isnin):

 

 

20 Februari 2006.

 

Y.B. Tan Sri Bernard Giluk Dompok
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
Pengerusi
Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti,
Bilik Mesyuarat Tanjung,
Majlis Perbandaran Petaling Jaya,
Petaling Jaya, Selangor.                                                                             
             DENGAN TANGAN              

Yang Berhormat-Yang Berhormat,

4 Cadangan Utama Untuk Mempertingkatkan Integriti Di Malaysia.

DAP Selangor ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan hasrat dan cita-cita kita khususnya dalam membentuk sebuah masyarakat membina dan maju yang berintegriti, bermoral dan beretika untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan negara.

Dengan itu, DAP Selangor ingin mengemukakan cadangan-cadangan untuk mempertingkatkan integriti di negara kita kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini. Cadangan-cadangan  ini adalah seperti yang berikut:

  1. Harapan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Integriti Nasional di setiap Dewan Undangan Negeri, khususnya di negeri Selangor
    1. Pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas yang sama di setiap Dewan Undangan Negeri untuk membantu Dewan Undangan Negeri masing-masing meneliti dan membincangkan isu-isu etika dan integriti di kalangan masyarakat dan Ahli-ahli Majlis.
    2. Jawatankuasa ini juga boleh mengemukakan cadangan pengubahsuaian atau perubahan dasar, semakan dan pindaan akta-akta dan peraturan tertentu kepada DUN untuk diperbahas, dipertimbangkan dan diluluskan, serta diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkaitan di negeri masing-masing.
    3. Penubuhannya juga amat diperlukan di negeri Selangor. Negeri Selangor memang terkenal bukan dengan status negeri majunya (yang mana ianya sendiri menimbulkan pelbagai tanda soal), tetapi dengan pelbagai skandal dan isu yang mencabar keintegritian pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo.
       
  1. Menggubal Akta Kerajaan Tempatan 1976 supaya pilihanraya ahli-ahli Majlis dipulihkan
    1. Pada masa sekarang rakyat tidak diberi kuasa untuk memilih ahli-ahli Majlis Perbandaran. Ahli-ahli Majlis sekarang adalah dilantik daripada parti memerintah sahaja.
    2. Adalah tidak munasabah untuk rakyat terus membayar cukai pintu kepada Kerajaan Tempatan tetapi hak mereka untuk menuntut undi ketiga mereka terus tidak diberi perhatian serious.
    3. Lebih-lebih lagi, pentadbiran Kerajaan Tempatan langsung tidak disemak dan dipantau oleh mana-mana pembangkang, ianya telah bertukar menjadi dewan ‘Ya-Betul!’ sahaja. Ini adalah amat membimbangkan kerana korupsi akan mudah berlaku tanpa pantauan dan seliaan daripada pembangkang.
    4. Dengan adanya pilihanraya ini, maka rakyat berpeluang untuk memantau dan menyemak prestasi Ahli-ahli Majlis mereka, sekaligus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan mereka.
       
  1. Mengurangkan saiz tenaga perkhidmatan awam bagi mempertingkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam
    1. Walaupun perkhidmatan awam telah bertukar kepada sistem lima hari, produktiviti dan kualiti perkhidmatan awam masih tidak menampak sebarang perubahan yang memberangsangkan.
    2. Ini disebabkan oleh saiz tenaga perkhidmatan awam yang terlampau besar, sama seperti bilangan Menteri Kabinet yang terlalu besar. Pada tahun 1990, Kerajaan Persekutuan hanya mengupah 773,997 kakitangan awam tetapi angka ini telah mencecah 894,788 pada tahun 2000 dan angka ini telah mencecah satu juta orang pada masa sekarang. Ini tidak termasuk pula kakitangan-kakitangan awam yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.
    3. Perlu diingat bahawa tenaga perkhidmatan awam yang terlampau besar akan mudah menyebabkan karenah birokrasi berleluasa, ini secara tidak langsung akan menyebabkan korupsi.
       
  1. Menetapkan supaya semua pegawai kanan kerajaan mengumumkan aset dan harta mereka
    1. Kerajaan perlu mamainkan peranan utama dalam usaha membanteras gejala rasuah.
    2. Usaha ini wajar dimulakan dengan kerajaan menetapkan supaya semua pegawai kanan kerajaan mengumunkan aset dan harta mereka serta ahli keluarga terdekat mereka demi menunjukkan komitment kerajaan terhadap usaha memperkasakan integriti di kerajaan.
    3. Pegawai-pegawai kanan yang dimaksudkan ini termasuk YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Kabinet, Timbalan  Menteri, Setiausaha Parlimen dan Ketua Setiausaha di setiap kementerian, Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri, Exco Kerajaan Negeri serta Datuk Bandar/ YDP Majlis Perbandaran/Daerah di peringkat tempatan.
    4. Ini adalah supaya rakyat sendiri dapat memantau kedudukan kewangan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Secara tidak langsung, ini dapat memantapkan integriti di sektor perkhidmatan awam.

Isu-isu spesifik yang ingin dibangkitkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini.

  1. Kerosakan alam sekitar di sekitar Taman Templer.

DAP Selangor telah membawa perhatian Pejabat Menteri Besar Selangor terhadap perkara ini pada 15 September 2005 dan Pejabat Menteri Besar telah membawa isu ini kembali kepada Majlis Perbandaran Selayang. Pihak kami telah beberapa kali cuba mendapat maklumat lanjutan dan maklum balas daripada MPS terhadap perkara ini tetapi terus menemui jalan buntu.

Bersama-sama dengan memorandum ini, dilampirkan surat aduan daripada DAP Selangor kepada Pejabat Menteri Besar Selangor dan surat daripada Pejabat Menteri Besar Selangor kepada MPS salinan kepada DAP Selangor.

  1. Pembaziran wang rakyat melalui “lawatan-lawatan cuti bekerja” oleh badan-badan kerajaan.

DAP Selangor juga ingin membawa perhatian Jawatankuasa ini terhadap lawatan sambil belajar Kerajaan Negeri Johor yang didedahkan oleh Naib Presiden DAP Johor, Norman Fernandez.

Seperti yang dituntut oleh DAP Selangor, ADUN Sekinchan YB Ng Suee Lim serta ADUN Sungai Pinang YB Teng Chang Khim dalam isu “belly dancing Mesir” Jawatankuasa Kira-kira Awam Dewan Undangan Negeri Selangor, rakyat berhak untuk tahu sama ada lawatan itu benar-benar dilakukan dan membawa manfaat bermakna kepada rakyat.

Jika terbukti ada, kerajaan negeri mesti memberitahu rakyat tentang butir terperinci dan hasil lawatan tersebut. DAP Selangor ingin tahu bagaimana aturcara melawat pantai dan melihat pameran bunga, boleh memberi faedah kepada rakyat.

Sebagai rumusan, kerajaan tidak akan mencapai hasrat mewujudkan integriti dan etika sebagai budaya hidup sekiranya kerajaan sendiri dianggap sekadar “melepaskan batuk di tangga”.

DAP Selangor memang bersedia membantu dan bekerjasama dengan YAB Perdana Menteri tetapi selagi keempat-empat strategi yang digariskan di atas tidak dilaksanakan, adalah agak sukar untuk merealisasi Tekad 2008.

Sekian, terima kasih.

Yang benar

Ean Yong Hian Wah.

Setiausaha DAP Selangor.

(20/02/2006)


*

Ean Yong Hian Wah., Setiausaha DAP Selangor.

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: