http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Pertanyaan Tentang Laporan Polis Yang Dibuat Oleh Empat Warga China Yang Disalah Tangkap Oleh Polis Dalam November 2005


Surat Kepada Perdana Menteri
oleh Teresa Kok

(Parlimen , Khamis):

19 Januari 2006

Kepada
YAB Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri merangkap
Menteri Keselamatan Dalam Negeri

Faks: 03- 8888 3444

 

YAB Dato' Seri,

Pertanyaan Tentang Laporan Polis Yang Dibuat Oleh Empat Warga China Yang Disalah Tangkap Oleh Polis Dalam November 2005

====================================================

Terlebih dahulu, saya ingin menyampaikan penghargaan saya terhadap usaha YAB dan kerajaan yang ingin menambahbaikkan prestasi Polis Diraja Malaysia sejak YAB meneraju kepemimpinan negara. Saya juga ingin memuji tindakan pantas YAB yang menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat klip video MMS (Multimedia Messaging Service) telefon bergerak yang menunjukkan seorang wanita yang berbogel badan melakukan ketuk-ketambi di hadapan seorang pegawai polis wanita.

Sehubungan itu, saya juga merasa lega dan puashati bahawa kabinet telah membuat keputusan untuk mengumumkan Laporan Suruhanjaya Bebas yang mendengar inkuiri awam berhubung kes rakaman video tahanan wanita semalam. Keputusan kabinet untuk mengumumkan laporan ini dan juga keputusan YAB menubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat klip video MMS menunjukkan keprihatinan YAB terhadap isu yang melibatkan hak asasi manusia di lokap polis.

Walau bagaimanapun, ramai orang termasuk empat warga China yang disalah tangkap dan dimasukkan dalam lokap polis di Petaling Jaya selama 4 malam dalam November 2005 tertanya-tanya apa yang berlaku pada laporan polis yang dibuat oleh mereka pada 13 November 2005 di Balai Polis Petaling Jaya? Aduan mereka telahpun disiarkan secara meluas di media tempatan dan juga media di Negeri China dan telah menjejaskan namabaik Malaysia di Negeri China.

Walaupun kabinet telah menghantar Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, YB Datuk Azmi Khalid ke Negeri China untuk memberi penerangan kepada rakyat dan media China pada bulan Disember 2005 berikutan daripada aduan daripada 4 warga China ini, tetapi ramai orang masih tunggu-menunggu tentang tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan ataupun Pejabat Peguam Negara terhadap aduan mereka.

Untuk makluman YAB, keempat-empat warga China ini telahpun membuat aduan kepada Bahagian Tatatertib di Ibupejabat Polis di Bukit Aman. Mereka juga telah dipanggil oleh pihak polis untuk rakaman kenyataan sebanyak 2 kali (kali pertama dipanggil oleh polis di Balai Polis Petaling Jaya dan kali kedua oleh polis di Ibupejabat PDRM Selangor di Shah Alam). Selain itu, mereka juga telah dipanggil untuk mengenalpasti pegawai polis yang terlibat di Balai Polis Petaling Jaya.

Selain itu, rakaman kenyataan terhadap 4 warga China yang dibuat oleh pihak polis daripada Ibupejabat PDRM Selangor adalah amat teliti dan telah makan masa beberapa hari, tetapi kesalnya, aduan mereka ini kemudian ditutupi dan dikaburi oleh isu klip video MMS ketuk-ketambi sehingga aduan mereka kelihatan telah menjadi isu yang dilupai.

Memandangkan kabinet telah membuat keputusan untuk mengumumkan laporan Suruhanjaya Bebas yang mendengar inkuiri awam berhubung kes rakaman video tahanan wanita, saya berharap YAB juga boleh meneliti semula tentang aduan yang dibuat oleh empat warga China yang disalah tangkap oleh pihak polis sebelum itu dan mengumumkan kepada orang ramai tentang tindakan terhadap pegawai polis yang terlibat.

Respons kerajaan terhadap aduan empat warga China ini adalah penting kerana kes mereka telah dilaporkan secara meluas di media Negeri China dan isu ini telah menjejaskan imej Malaysia di Negeri China.

Selain itu, sebarang tindakan pihak kerajaan ataupun pihak polis terhadap pegawai polis yang bersalah juga akan membuktikan kepada orang ramai bahawa kerajaan mengambil berat tentang aduan yang bercanggah dengan hak asasi manusia dan juga korupsi yang berlaku di balai polis.

Dilampirkan bersama laporan polis bersama oleh empat warga China pada 13 November 2005 untuk rujukan YAB.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

________________

YB Teresa Kok
Ahli Parlimen Kawasan Seputeh

s.k. Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara Malaysia. Faks: 03-8888 9378,

email: [email protected],

(19/01/2006)


*Teresa Kok, Setiausaha Publisiti Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Bagi Kawasan Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: