http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Laporan Ke Atas Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam Berkaitan Tabung Misteri Kebajikan Kesihatannya Sebanyak RM 908,242.33 Sejak 19.12.2001 Yang Disalahgunakan Untuk Membiayai Kos Rawatan Hospital Ahli Keluarganya.

 


Surat Kepada BPR
oleh Lim Guan Eng


(Melaka, Rabu): 

Surat kepada BPR Berkaitan Tabung Misteri Kebajikan Kesihatan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 04.01.2006.

                                                                                                                 

Badan Pencegah Rasuah (BPR),
Tingkat 2 & 3, Bangunan B.C. Lim,                                                       04hb Januari
2006.                                        
No. 102, Jalan Taming Sari,                                                     
Peti Surat 6000, 75400 Melaka.                                                           
DENGAN TANGAN

 

Tuan,

Laporan Ke Atas Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam Berkaitan Tabung Misteri Kebajikan Kesihatannya Sebanyak RM 908,242.33 Sejak 19.12.2001 Yang Disalahgunakan Untuk Membiayai Kos Rawatan Hospital Ahli Keluarganya.

Saya ingin membuat laporan kepada BPR terhadap Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam berkaitan tabung misteri kebajikan kesihatannya sebanyak RM 908,242.33 sejak 19.12.2001 yang disalahgunakan untuk membiayai kos rawatan hospital ahli keluarganya. Ini merupakan lapuran pertama ke atas pentadbiran YAB tahun ini dan yang kelima sejak 2004.

YAB Ketua Menteri Melaka telah mendirikan satu Tabung Kebajikan peribadi di atas nama peribadinya sendiri demi membolehkan bantuan kewangan dihulurkan kepada pesakit miskin dan berkeperluan untuk kos dan perbelanjaan hospital dan perubatan. Adalah difahamkan sejak 19.12.2001 bila RM 5,000 dimasukkan, sebanyak RM 908,242.33 telah dimasukkan dan digunakan sehingga 31 Mac 2005 iaitu:-
 

·        RM 122,950 pada tahun 2001/2002;

·        RM 286,000 dalam tahun 2003

·        RM 449,292.33 dalam tahun 2004; dan

·        RM 50,000 setakat 31 Mac 2005.

Sumber wang Tabung misteri ini berasal dari UMNO Negeri Melaka sebanyak RM 368,283.82 dan bakinya sebanyak RM 539,958.51 adalah diperolehi daripada derma orang awam yang dipungut oleh YAB Ketua Menteri Melaka. YAB Ketua Menteri mendakwa di suratkhabar berkali-kali bahawa Tabung ini diselenggarakan oleh Southern Hospital (kini digelarkan Hospital Putra) untuk membolehkan orang awam yang miskin memohon bantuan kewangan perubatan baik di hospital swasta atau kerajaan.

Akan tetapi siasatan ke atas maklumat yang diperolehi oleh pihak saya bahawa sepanjang tiga tahun Tabung misteri ini berorperasi, lebih daripada RM 590,000 (65%)  digunakan untuk orang kaya bergelar Datuk-datuk dan ahli keluarga YAB Ketua Menteri Melaka sendiri. RM 365,000 atau 40% digunakan untuk ahli keluarga YAB Ketua Menteri sendiri termasuk isteri, anak-anak, abang ipar, mak mertua, kakak dan allayaharmah emaknya.

Manakala RM 225,000 atau 25% digunakan untuk pesakit bergelar datuk ataupun isteri datuk. Amat menghairankan mengapa ahli keluarga seperti isteri dan anak perlu mengambil kesempatan dalam tabung misteri ini dan menafikan hak orang miskin bila rawatan perubatan memang diberikan secara percuma oleh kerajaan kepada ahli keluarganya selaras dengan kedudukannya sebagai YAB Ketua Menteri Melaka.

Isu ini ada hubungkait dengan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan berkepentingan awam kerana melibatkan tiga perkara penting:-
 

a)                  Sumber wang adalah daripada orang awam dan dikutip atas matlamat murni membantu orang miskin dan golongan tidak berada;

b)                  Bantuan wang tidak dihulurkan semua kepada orang miskin dan golongan tidak berada sebaliknya kepada golongan berada bergelar Datuk dan ahli keluarga YAB Ketua Menteri Melaka sendiri; dan

c)                  Tidak ada sebarang pengumuman awam bahawa pesakit miskin boleh memohon bantuan atau kriteria kelayakannya sehingga orang awam hanya tahu tentang tabung misterinya selepas tiga tahun didirikan bila didedahkan saya.

Tabung Kebajikan peribadi bermisteri ini diberikan kepada ahli keluarganya dan orang kenamaan yang sepatutnya tidak layak menerima bantuan perubatan. Adalah menghairankan mengapa ahli keluarga YAB termasuk isteri dan anak sendiri perlu menggunakan wang yang dikutip daripada Tabung Kebajikan Kesihatan yang dikutip daripada UMNO Melaka dan wang orang awam bila mereka berhak menerima rawatan percuma daripada hospital kerajaan.

Perbuatan oleh seorang pegawai badan awam, yang melibatkan wakil rakyat dan ahli pentadbiran, menggunakan wang awam yang dikutip atas tujuan membantu orang miskin telah menyalahi peruntukan-peruntukan 10 hingga 15 dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997, khususnya seksyen 15. Seperti yang sedia dimaklumkan oleh BPR, kesalahan sedemikian boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun; dan didenda tidak kurang daripada 50 kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dibawah seksyen 16.

Memandangkan 40% Tabung misteri awam ini diberikan kepada ahli keluarganya YAB Ketua Menteri Melaka bercanggahan dengan matlamat penubuhannya merupakan satu penyalahgunaan kuasa tertakluk di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.  Dokumen-dokumen berkaitan dengan akaun kewangan dan penerima Tabung Kebajikan Kesihatan YAB adalah disertakan bersama. Sekian terima kasih.

Yang benar,

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG

(11/01/2006)      


* Lim Guan Eng,  Setiausaha Agung DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: