http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Penggunaan “Mandarin” dalam pengambilan pekerja: Dasar kerajaan yang perlu diubah dan bukannya dasar pengambilan pekerja swasta


Kenyataan Akhbar
oleh Lau Weng San


(Petaling Jaya, Jumaat): Kerajaan BN tidak harus melihat perkara syarat pengambilan pekerja yang fasih berbahasa Mandarin dari sudut perkauman.

Tuduhan bahawa syarat yang dikenakan oleh syarikat swasta bukan Bumiputera ini juga tidak wajar dilihat sebagai langkah “bias”. Apa yang perlu difahami ialah syarikat swasta bukan Bumiputera ini juga merupakan syarikat swasta yang mempunyai hak mutlak untuk menetapkan mana-mana syarat yang dirasakan diperlukan oleh syarikat itu dengan berpandukan keperluan dalaman dan keperluan pasaran syarikat.

Oleh itu, adalah amat tidak wajar untuk kerajaan BN melihat isu ini dari sudut perkauman. Syarikat swasta bukan Bumiputera ini bukan syarikat GLC yang akan dibantu oleh kerajaan dari segi kewangan apabila mengalami kerugian, oleh itu, sebarang keputusan dan dasar syarikat swasta ini perlu ditetapkan dengan berpandukan keperluan dalaman dan pasaran, termasuk dasar dan syarat pengambilan pekerja baru.

Seperti mana-mana syarikat multinasional yang lain yangf beroperasi di Malaysia, kebanyakkan syarikat ini memestikan pekerja-pekerjanya menguasai Bahasa Inggeris dengan bagus, sama ada dari segi menulis, membaca dan memahami. Iklan pengambilan pekerja syarikat-syarikat ini turut disiarkan dalam surat khabar tiap-tiap hari. Dengan itu, adakah kerajaan akan beranggapan bahawa tindakan syarikat-syarikat ini sebagai “bias” terhadap mereka yang tidak fasih dan pandai berbahasa Inggeris? Adakah kerajaan akan turut meminta syarikat-syarikat ini menurunkan syarat pengambilan pekerja mereka?

Kerajaan BN perlu memahami bahawa apabila penguasaan bahasa tertentu diletakkan sebagai syarat tertentu dalam pengambilan kerja adalah disebabkan oleh keperluan dalaman dan pasaran. Misalnya di beberapa syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia, penguasaan Bahasa Jepun disyaratkan kerana mereka ini perlu berurusan dengan ibu pejabat di Jepun ataupun mereka ini perlu memahami dokumen-dokumen dari Jepun yang ditulis dalam Bahasa Jepun.

Oleh itu, masalah pokok bukan sama ada syarikat itu syarikat bumiputera atau tidak atau bahasanya, tetapi masalahnya ialah penguasaan bahasa asing oleh mahasiswa-mahasisiwi kini. Daripada perspektif yang lebih luas, ianya adalah berkaitan dengan daya saingan mahasiswa-mahasiswi kita.

Kerajaan perlu mengubah dasar pendidikan dengan menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah dan penuntut universiti untuk menguasai lebih daripada dua bahasa dan bukan meminta syarikat-syarikat swasta untuk menurunkan syarat mereka. Keengganan kerajaan untuk mengubahsuai dasarnya dan pada masa yang sama meminta syarikat-syarikat swasta untuk menurunkan syarat mereka hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia dan seterusnya akan menjejaskan aktiviti perniagaan swasta di Malaysia.

(01/06/2006)


*  Lau Weng San, Setiausaha Publisiti DAP Selangor

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: