http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Memorandum kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti Pada 27HB. Februari 2006 Di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.

 


Memorandum
oleh Ahli Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang

(Pinang, Khamis):

DEMOCRATIC ACTION PARTY (PENANG STATE COMMITTEE)

Memorandum kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti Pada 27HB. Februari 2006 Di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.

Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang menyambut kedatangan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti ke negeri Pulau Pinang dan mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan keprihatian kami mengenai isu integriti melalui memorandum ini.

Kami tidak ingin berpura-pura bahawa kami lebih tahu daripada Ahli-Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat serta seluruh jentera kerajaan mengenai isu integriti, etika, good governance dan korupsi. Kami berasa seluruh Negara Malaysia dari Perdana Menteri sehingga rakyat biasa tahu bahawa kita perlu berhadapan dengan  masalah korupsi dan integriti. 

Persoalan pokok yang menjadi teras keprihatian kami adalah sama ada kerajaan dan rakyat mempunyai keazaman politik yang tulen untuk menangani masalah korupsi dan keruntuhan etika dan integriti dalam ruangan awam negara ini.

Walaupun kami pernah merasa sinis terhadap initiatif memerangi rasuah dalam Negara, kami juga sedia untuk memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri untuk membersihkan Malaysia dari masalah rasuah kerana kami mahu lihat Malaysia berjaya.

Kami menegaskan bahawa keazaman politik yang tulen menjadi faktor terpenting untuk menjayakan initiatif kali ini sebab negara tidak kurang apapun, baik dari segi pengetahuan mahupun keupayaan untuk memerangi korupsi.

Keazaman politik diperlukan kerana jika melakukan apa yang disyorkan sebagai langkah terbaik untuk menang dalam perjuangan ini mungkin bermakna kita sanggup mengorbankan dan membelakangkan kedudukan politik dan kepentingan peribadi demi meletakkan kepentingan Negara ke tempat yang atas.

Malaysia mempunyai keadaan struktural yang wujud dan bergolak dari cara bagaimana sistem ekonomi, sistem politik, sistem sosial dan sistem legal diaturkan dan setiap sistem ini boleh menyumbang dengan cara-cara tersendiri kepada wujudnya masalah korupsi dalam pentadbiran Negara.

Pemimpin politik negara amat tahu bahawa mengstruktur semula sistem-sistem ekonomi, politik, sosial dan legal ini boleh menjadikan Negara kita mengurangkan dan mencegah korupsi dari berlaku. Tetapi mereka juga tahu bahawa pengstrukturan semula landasan Negara ini akan boleh menjejaskan kedudukan politik dan kepentingan peribadi mereka dan sebab ini keazaman politik tidak dapat diperkukuhkan.

Bukan kerajaan tidak tahu bahawa kajian fenomena korupsi menunjukkan kebarangkalian berlaku korupsi ada kait rapat dengan bilangan peraturan yang ada dan kuasa discretionary yang dipegang oleh pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Bukan kerajaan tidak tahu pelaksanaan dasar-dasar ekonomi tertentu menggalakkan korupsi kerana ia satu sumber “rent-seeking”. Misalannya banyak, kepentingan dasar monopoli dan penswastaan, sekatan atas perdagangan asing, sistem subsidi, kawalan harga, kadar tukaran asing dan gaji rendah di perkhidmatan awam.

Bukan pemimpin kerajaan tidak tahu bahawa korupsi akan mempengaruhi struktur ekonomi Negara yang menimbulkan halangan yang amat besar kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kerana ia akan melemahkan kadar persaingan Negara.

Keazaman politik lagi susah ditonjolkan apabila ia diperlukan untuk mengstruktur semula sistem politik yang selama ini mengurniakan kuasa dan kedudukan kepada pemimpin Negara.

Sekatan-sekatan ke atas peranan yang dimainkan oleh civil society menjadi satu lagi keadaan yang menggalakkan korupsi.Mana pemimpin mahu lihat civil society dan pembangkang menjadi kuat untuk memastikan keseimbangan dalam pengagihan kuasa.

Mana pemimpin kerajaan mahu mengaku bahawa apabila kuasa dicengkam berlebihan dalam satu kumpulan politik yang memegang kuasa dengan begitu lama , ia akan mewujudkan satu keadaan yang menggalakkan korupsi.

Kesan-kesan korupsi atas struktur politik akan menyebabkan kemerosotan kredibiliti dan legitimasi kerajaan dan sistem demokrasi, tetapi ini cuma berlaku di Thailand, Filipina dan Indonesia, tidak sampai ke Malayia lagi.   

Struktur sosial sesebuah Negara membawa dan mengandungi nilai-nilai etika yang tertentu yang boleh menggalakkan ataupun mencegah berlakunya korupsi.

Kerajaan ada mengaku bahawa transformasi ekonomi Malaysia telah menyebabkan hakisan pada sistem nilai, termasuk pemusnahan alam sekitar, tingkah-laku sosial yang tidak bertanggungjawab dan korupsi.

Kesan korupsi atas struktur sosial kita dapat dinampak dalam sikap dan perasaan sinis para rakyat dan ini telah menggalakkan satu budaya kelakuan yang anti-sosial.

Kita mahukan sebuah masyarakat yang konstruktif, tetapi sebaliknya kita lihat sebuah masyarakat yang mempunyai rakyat yang negatif yang cuma minat untuk mendapat faedah yang banyak sekali untuk dirinya dan tidak peduli sangat apa yang berlaku kepada jran, masyarakat am ataupun negaranya.

Rakyat tidak mempunyai semangat solidariti kerana mereka sudah jadi sinis dan apathy kerana mereka mempunyai persepsi bahawa kerajaan, pemegang jawatan perkhidmatan awam dan ahli-ahli politik semuanya korup.

Bukan pemimpin kerajaan tidak tahu bahawa kelemahan dalam fungsi institusi-institusi struktur perundangan seperti Badan Pencegah Rasuah, Pejabat Peguam Negara, Badan Kehakiman dan Parlimen pun telah membawa kepada suasana yang menyuburkan fenomena dan gejala korupsi.

Mungkin Perdana Menteri benar-benar mahu menunjukkan keazaman politiknya apabila beliau setuju untuk menubuhkan Independent Commission on Police Misconduct and Complaints tetapi Pemuda UMNO dan pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia semua membantah. Ini satu ujian yang besar kepada Perdana Menteri, sama ada kedudukan politiknya terancam jika ingin teruskan dengan keazaman politiknya untuk membaikpulih pasukan polis yang dilanda macam-macam kepincangan termasuk soal integriti dan rasuah.

Banyak pihak telah mempersendakan initiatif Perdana Menteri kerana belum nampak banyak kemajuan sejak ia melaungkan slogan pilihanraya memerangi rasuah. Ada yang khuatir sama ada beliau cukup kuasa politik untuk menjayakan kempennya walaupun menghadapi tentangan dari banyak pihak.

Kami masih menaruh harapan mesej utama kami iaitu memperkuatkan keazaman politik untuk mengstruktur semula sistem ekonomi, politik, sosial dan legal untuk menangani isu integriti, etika, good governance dan korupsi dapat persetujuan oleh Perdana Menteri sendiri.

 

CHOW KON YEOW

Pengerusi Jawatankuasa Negeri
DAP Pulau Pinang
Merangkap Ahli Parlimen Tanjong      

 

(03/03/2006)


* Chow Kon Yeow, Pengerusi Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang Merangkap Ahli Parlimen Tanjong      

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: