http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Penyalahgunaan Kuasa Cawangan BN Yang Menjejaskan Pentadbiran Kerajaan Tempatan

 


Ucapan Perbahasan
oleh Teresa Kok

(Parlimen, Khamis):

Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan YDP Agong Pada 23 Mac 2006

===============================================================

Datuk yang diPertua,

Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah kepada YB dari kawasan Wangsa Maju dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, cabaran terbesar bagi Menteri Wilayah Persekutuan yang baru ini ialah samada beliau boleh menjalankan tugasnya dengan mengikut undang-undang dan kebenaran tanpa melindungi kepentingan ahli-ahli BN  ataupun kroni-kroni parti. Di sini saya ingin membangkitkan dua kes yang berlaku di kawasan saya yang menunjukkan penyelewengan dan penalahgunaan kuasa komponen parti BN.

Kes pertama, bangunan setinggan UMNO Seputeh di Jalan Kuchai Lama. Bangunan setinggan UMNO Seputeh ini telah berada di tanah kerajaan selama beberapa tahun tetapi pihak DBKL dan Kementerian tidak berani mengambil tindakan terhadap mereka hanya kerana bangunan itu bangunan UMNO Seputeh. Bangunan UMNO Seputeh malah dibenarkan untuk membesarkan halaman semasa bekas Pengerusi UMNO Seputeh memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk yang diPertua, apa yang menghairankan saya adalah bangunan UMNO Seputeh sekarang telah menghalang pembinaan dua jejambat,  iaitu jejambat DBKL yang merentasi lampu trafik Jalan Kuchai Lama dan juga cadangan jejambat yang sepatutnya dibina oleh Road Builders yang menyambung Lebuh Raya Sungai Besi ke New Pantai Expressway.  Jejambat DBKL sepatutnya siap pada bulan Jun tahun ini, tetapi kedua-dua projek itu tidak dapat dijalankan kerana UMNO Seputeh enggan berpindah. Apakah kerajaan dan DBKL sanggup membenarkan UMNO Seputeh menghalang projek kerajaan?  

Sekiranya bangunan setinggan itu adalah bangunan DAP, apakah DBKL dan Kementerian akan membenarkan DAP berbuat demikian?

Datuk yang diPertua, saya difahamkan bahawa bangunan UMNO Seputeh beroperasi di bawah nama pusat perkhidmatan kawasan Parlimen Seputeh dan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan kini ingin membina bangunan UMNO Seputeh yang baru bagi mereka di Danau Desa di mana kerajaan membiayai bangunan baru itu?  Bukankah ini preceden yang buruk sekali? Pejabat saya dan juga pejabat kesemua ahli parlimen di Wilayah Persekutuan juga merupakan pusat perkhidmatan untuk rakyat di kawasan kami masing-masing, apakah Kementerian Wilayah Persekutuan akan membina pusat perkhidmatan bagi kami semua?

Datuk yang diPertua, sekarang MCA juga mencontohi penyalahgunaan kuasa UMNO Seputeh dengan merampas tempat letak kereta di sebelah bangunan MCA OUG sekarang.

Pengerusi MCA di Wilayah Persekutuan YB dari Bandar Tun Razak malah datang ke tapak minta pekerja untuk memindah kontainer pejabat MCA OUG ke tempat letak kereta di sebelahnya. Bukankah ini merupakan salah satu bentuk penyalahgunaan kuasa?    

Apakah pendirian Kementerian terhadap isu ini?

Rumah Bagi Mangsa Setinggan Projek KL Linear City Yang Terbengkalai

Datuk yang diPertua, saya juga ingin tanya Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan bilakah kerajaan akan menunaikan janjinya dengan membina rumah kos rendah untuk diberi kepada setinggan KL Linear City? Lebih kurang 200 keluarga setinggan ini masih menunggu rumah yang dijanjikan oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Datuk Bandar pada tahun 2002, janji dibuat oleh mereka ialah kerajaan akan mencari tapak dan membina rumah kos rendah kepada mereka seperti yang termaktub dalam Perjanjian Jualbeli yang dimeterai di antara syarikat KL Linear City dengan mereka. Saya membangkitkan isu ini hampir tiap-tiap sidang, saya berharap YB Menteri dan Timbalan Menteri yang baru ini boleh menyelesaikan masalah yang telah lama ini untuk membuktikan kerajaan mengotai janji.

“Set Back” Lebuh Raya Dari Rumah  

Datuk yang diPertua, sekarang Lebuh Raya KL – Putrajaya tengah dibina dengan jarak 2.3 meter daripada pinggir lebuh raya hingga ke rumah di Sri Petaling. Saya ingin tanya apakah dasar Kementerian Wilayah Persekutuan terhadap keperluan set-back di antara lebuh raya bertingkat dengan rumah kediaman? Apakah kementerian akan mengikut Uniform Building By-Law (UBBL) secara membabi-buta? Apakah ia hanya sesuai pada rumah kediaman sahaja?

Apakah pendirian Kementerian Wilayah Persekutuan terhadap lebuh raya bertingkat dibina dengan jarak hanya 2.3 meter dari rumah kediaman di Sri Petaling? Apakah kelulusan rumah kediaman ini amat tidak adil kepada penduduk dan pembeli rumah yang membayar cukai pintu kepada DBKL kerana pihak kerajaan tempatan kelihatan tidak mempertahankan kepentingan mereka. Macam manakah Kementerian Wilayah Persekutuan mengelakkan perkara ini tidak diulangi pada masa akan datang?   

Penutupan Ladang Penternakan Babi di Negeri Melaka

Datuk yang diPertua, kerajaan sekarang ingin mementingkan sektor pertanian, ini dibayangkan dalam bajet kita pada tahun ini dan juga tahun-tahun kebelakangan, tetapi kesalnya kerajaan Negeri Melaka ingin menutup 82 ladang penternakan babi yang kebanyakannya telah beroperasi lebih daripada di Negeri Melaka yang mana bercanggah dengan dasar kerajaan Persekutuan. Arahan penutupan ladang penternakan babi ini bukan sahaja akan  menjejaskan pekerjaan dan ekonomi 5 ribu pengusaha ladang penternakan di Negeri Melaka. Arahan daripada kerajaan Negeri Melaka menyebabkan mereka menghadapi kesulitan untuk terus beroperasi.   

Para pengusaha ladang penternakan babi ini menerima surat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka bertarikh 1 Mac 2006 dan juga pihak berkuasa tempatan untuk menutup ladang penternakan khinzir mereka dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat mereka. Selepas notis ini dikeluarkan, exco Negeri Melaka dari MCA, Seah Kwi Tong mengumumkan bahawa kerajaan Negeri Melaka akan melewatkan penutupan ladang penternakan babi tetapi ladang penternakan babi yang diusahakan oleh Pengerusi Persatuan Penternak-penternak Negeri Melaka, Chin Nam Yee di Tanjong Minyak haruslah ditutupi pada akhir bulan ini. Selain itu, para penternak babi ini juga amat kecewa terhadap kenyataan ADUN Seah Kwi Tong yang menuduh mereka tidak bersyukur kepada MCA walhal MCA telah gagal mempertahankan ladang penternakan babi mereka.

Pada minggu lepas, Ketua Pembangkang dan rombongan pemimpin DAP telah melawat ladang penternakan babi dan ayam oleh Chin Nam Yee, ladang penternakannya merupakan ladang penternakan yang terbesar dan yang amat mementingkan kebersihan dan kesihatan. Air pembetungan di ladang babi dan ayam langsung tidak dialir ke sungai tetapi ia akan diproses di dalam halaman ladangnya.

Bila kami berada di ladang penternakannya, kami tidak menghidu bau binatang dan bau tahi babi kerana syarikatnya amat mementingkan pemeliharaan alam sekitar dan kebersihan di ladang penternakannya. Sehubungan dengan itu, ladangnya juga diiktiraf sebagai ladang penternakan yang paling bersih dan yang patut dijadikan sebagai model ladang penternakan babi oleh Jabatan Alam Sekitar Melaka. Jadi kenapakah kerajaan Negeri Melaka mempunyai keinginan yang begitu kuat untuk menutup ladang penternakannya? Apakah ini disebabkan beliau merupakan pengerusi Persatuan Penternak-Penternak Melaka dan telah terlibat dalam langsung dalam perjuangan penternak babi?

Saya faham babi bukannya binatang halal dari sudut pandangan Islam tetapi pembelaan binatang ini memang telah menjadi suatu industri dan makanan keperluan bagi masyarakat bukan Islam. Sekiranya kerajaan ingin membangunkan industri pertanian,  kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pun mempunyai tanggungjawab untuk menghulurkan bantuan kepada para penternak babi kerana sektor penternakan telah menjana pekerjaan dan peluang ekonomi di negara kita, selain itu, babi di Malaysia juga dieksport ke Singapura dan ini mendatangkan dana asing kepada kita. Memandangkan para penternak babi dari Melaka telah menghantar memorandum kepada YAB Perdana Menteri. Saya menyeru Perdana Menteri dan Kementerian Pertanian boleh memandang serius terhadap dilema penternak babi di Melaka yang kini menghadapi penindasan dan kesusahan.

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) Mesti Ditubuhkan

Datuk yang diPertua, saya merasa amat kesal terhadap siri kritikan yang dilemparkan oleh ahli berhormat dari UMNO terhadap saya dalam isu kelip MMS ketuk-ketambi dalam telefon bergerak dan juga bantahan mereka terhadap cadangan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Pasukan Polis dan Perdana Menteri untuk menubuhkan IPCMC. Saya juga amat kesal terhadap komen dan kritikan penuh dengan bau pekauman oleh beberapa Ahli Parlimen dan Senator UMNO terhadap saya apabila mangsa perempuan dalam kelip MMS ketuk-ketambi itu didapati bukannya warga China tetapi gadis Melayu. 

Datuk yang diPertua, isu kelip MMS ketuk-ketambi ini langsung tidak ada kaitan dengan kaum, apabila saya bangkitkan perkara ini dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, saya tidak pernah sebut yang gadis itu dari Negeri China, saya selalu berkata bahawa saya tidak kenal gadis dalam kelip MMS tetapi dia sudah tentu bukan salah seorang daripada empat warga China yang telah membuat laporan polis tentang penyalahtangkapan polis di Sungai Buloh dalam tempoh cuti Hari Raya pada tahun lepas. Jadi tuduhan ahli berhormat UMNO yang mengatakan saya memesong kerajaan Malaysia dan China dalam hal ini adalah amat tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya, mangsa gadis dalam kelip MMS akhirnya didapati gadis Melayu menunjukkan bahawa orang yang menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa polis merentasi semua kaum, termasuk orang Melayu, dan kita sebagai wakil rakyat sepatutnya mempertahankan hak dan maruah semua orang tanpa kira warna kulit. Saya ingin tanya perasaan YB UMNO yang mengkritik saya kerana membangkitkan isu ini, sekiranya watak dalam kelip MMS ketuk-ketambi adalah isteri ataupun anak perempuan YB sendiri, apakah perasaan YB dan apakah YB masih membuat tuduhan terhadap saya?

Datuk yang diPertua, beberapa ahli berhormat dari UMNO berkata bahawa pasukan polis kita memang mempunyai mekanisme dalaman untuk mengendalikan masalah disiplin di PDRM, tetapi masalahnya, mekanisme dalaman ini telahpun gagal, kerana anggota polis dalam unit tata-tertib memang menghadapi masalah untuk menjalankan siasatan terhadap rakan polis yang melakukan kesalahan dan rasuah.

Saya ingin mengambil contoh-contoh penyalahgunaan kuasa polis yang telah saya bangkitkan dalam beberapa bulan yang lepas untuk membuktikan kenyataan saya. Misalnya kes 4 warga China yang disalah-tangkap oleh polis selama 4 malam itu, mereka telah membuat laporan polis (nombor laporan polis: Petaling Jaya/013617/05) dan telah membuat laporan kepada Bahagian Tata-tertib di Bukit Aman, mereka juga telah dipanggil untuk mengecamkan pegawai polis yang mengambil rasuah dan menyalahgunakan kuasa semasa mereka ditahan, mereka telah banyak kali dipanggil oleh polis untuk rekod kenyataan, tetapi akhirnya tiada apa-apa tindakan diambil oleh polis sehingga sekarang. Bila saya tanya perkara ini di Parlimen pada minggu lepas, jawapan yang saya terima ialah bahawa kes ini masih dalam siasatan polis. Apa lagi siasatan? Apakah polis perlu 4 bulan untuk menyiasat kes yang begitu “simple” ini? Apakah ini menunjukkan bahawa pihak polis memang tidak ingin mengambil tindakan terhadap orang sendiri?

Begitu juga dengan beberapa kes lain yang berhubung dengan salah-laku polis, seperti kes Puan Nurizan dan dua orang anak perempuannya (laporan polis:THSL/035409/05 dan THSL/035456/05), kes transexual Mumtaz (laporan polis:THSL/035456/05) dan kes dua orang Iran Morteza dan Hamed (laporan polis: Subang Jaya/007908/05 dan Dang Wangi/036045/05). Kesemua kes yang pernah dibangkitkan oleh saya dalam beberapa bulan yang lepas langsung tidak diambil tindakan oleh polis selepas laporan polis dibuat.

Datuk yang diPertua, saya memang setuju bahawa PDRM telah membuat banyak sumbangan dan gaji dan layanan kepada mereka harus dipertingkatkan. Perkara ini telahpun banyak kali diperkatakan oleh saya dan parti-parti pembangkang, tetapi pihak polis tidak boleh memberi alasan bahawa IPCMC tidak harus ditubuhkan hanya kerana gaji mereka rendah, ini adalah dua perkara yang berbeza, seorang yang miskin tidak boleh kata mereka boleh diberi lesen melakukan jenayah hanya kerana dia miskin.   

Selain itu, golongan yang memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat bukan terhad kepada polis sahaja, askar tentera, pegawai kerajaan dan kita sebagai wakil rakyat juga telah membuat banyak sumbangan kepada masyarakat dan negara, tetapi kita tidak dibenarkan menyalahgunakan kuasa kita sesuka hati hanya kerana kita memberi sumbangan kepada negara dan masyarakat. Sebagai wakil rakyat, sekiranya kita melakukan kesalahan dan jenayah, kita akan dihukum oleh parti lawan dan rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang.  Ini adalah mekanisme “check and balance” terhadap ahli politik, masalah kita sekarang bahawa tiada apa-apa mekanisme luaran yang boleh  “check and balance” pasukan polis kita, mekanisme luaran seperti BPR, Biro Pengaduan di JPM dan SUHAKAM memang jelas adalah “harimau tanpa taring” yang langsung tiada kuasa penguatkuasaan.

Datuk yang diPertua, tuduhan daripada beberapa ahli berhormat UMNO bahawa DAP sebagai parti pembangkang membantah segala-gala cadangan dan dasar daripada BN. Sebenarnya kalau kita lihat ucapan dan kenyataan daripada ahli-ahli berhormat UMNO ini, adalah jelas orang yang membelakangkan ikhtiar Presiden parti UMNO dan Perdana Menteri ialah “back benchers” UMNO sendiri, tetapi sebaliknya orang yang menyokong agenda reformasi dan pembaharuan Perdana Menteri ialah Ketua Pembangkang dan DAP.

Apabila Perdana Menteri berkata bahawa kerajaan ingin membanteras rasuah, melicinkan sistem penghantaran (delivery system) di kalangan agensi kerajaan dan juga menubuhkan IPCMC, DAP menyokong kesemua cadangan Perdana Menteri, tetapi kesalnya yang membantah ialah “back benchers’ UMNO sendiri. Apakah ini menunjukkan Perdana Menteri adalah amat “alone” dalam perjuangan politiknya kerana ahli-ahli politik UMNO mengecewa dan menghalang agenda pembaharuannya?

Langkah “Double standard” Terhadap Media Yang Melakukan Kesalahan 

Datuk yang diPertua, saya amat tidak puas hati terhadap tindakan “double standard” oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri terhadap China Press dalam isu kelip MMS ketuk-ketambi. Dua orang penyunting akhbar tertinggi China Press dipaksa meletakkan jawatan hanya kerana edisi malam akhbar itu membuat kesilapan dengan menceritakan watak dalam kelip MMS isu ketuk-ketambi itu adalah gadis dari Negeri China. Isu sekarang ialah surat khabar kepunyaan UMNO seperti New Straits Times dan Utusan Malaysia juga membuat kesilapan yang sama pada 25 November 2005, tetapi tiada apa-apa tindakan diambil terhadap mereka.

Saya tidak akan mencadangkan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia dan New Straits Times, tetapi kenapakah kerajaan hanya mengambil tindakan terhadap China Press yang telah membuat pembetulan dalam edisi akhbar keesokan hari dan meminta maaf tetapi akhbar lain diabaikan?

Sebenarnya, tindakan kerajaan yang begitu keras terhadap China Press dan juga “double standard” telahpun merosakkan imej dan namabaik Perdana Menteri yang telah cuba menonjolkan satu imej yang mesra rakyat dan liberal kerana tindakannya terhadap China Press amat mengecewakan banyak pihak.  

Saya telah tanya Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengenai sebab “double standard” terhadap surat khabar pada 16 Mac 2006, kementerian langsung tidak mampu menjawab soalan ini. Bukankah ini menunjukkan bahawa tindakan kerajaan ini langsung tidak mempunyai alasan yang kukuh? 

Isu Berkenaan Pembeli Rumah

Rang Undang-undang tentang Building & Common Property (Maintenance & Management) telahpun dibangkitkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama 4 tahun, kenapakah rang undang-undang itu masih belum dibentangkan di dewan yang mulia ini?

Syarikat Perumahan Negara (SPN) ialah badan untuk menyelamat projek perumahan yang diabaikan. Saya ingin minta kementerian memberi pecahan projek perumahan yang telah dipulihkan oleh SPN dan berapakah kos yang dibayar oleh SPN untuk menyelamat setiap projek perumahan yang terbengkalai ini?

 

(23/03/2006)


* Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: