http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Mengharamkan Politik Wang Dan Menegakkan Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya Menjelang Pilihan Raya Besar Sarawak Demi Memastikan Pemilihan DemokrasiYang Bebas Dan Mencerminkan Slogan Cekap Dan Telus.

 


Memorandum kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
oleh Lim Guan Eng


(Putrajaya, Jumaat):

 

                                                                                                                24 Mac 2006.

TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA HAJI AB. RASHID BIN AB. RAHMAN,
Pengerusi,
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia(SPR),
ARAS 4-5 BLOK C7, PARCEL C
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN                                    
DENGAN TANGAN
62690 PUTRAJAYA                                                            

Yang Berbahagia Tan Sri,

Mengharamkan Politik Wang Dan Menegakkan Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya Menjelang Pilihan Raya Besar Sarawak Demi Memastikan Pemilihan DemokrasiYang Bebas Dan Mencerminkan Slogan Cekap Dan Telus.

SPR dipertugaskan mengikut Perkara 113-120 Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara, mengawasi dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini menerusi sistem pilihan raya yang adil dan saksama. Sebagai badan yang bebas dan berkecuali, SPR tidak boleh tertakluk kepada mana-mana pihak tentang bagaimana menjalankan pilihan raya, membolehkan rakyat membuat pilihan yang bebas dan menegakkan undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Oleh demikian kami amat terkejut bahawa SPR tidak mengambil tindakan selepas pendedahan bahawa perbelanjaan poster sahaja dalam pilihan raya besar 2004 adalah RM 110 juta dan RM 3.5 juta untuk pilihan raya kecil Pengkalan Pasir. Ini jelas berlawanan dengan Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyekat perbelanjaan kepada had RM 200,000 dan RM 100,000 dalam hal sesuatu pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri masing-masing. 

Kesalahan ini merupakan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang dan boleh dihukum di bawah seksyen 27 dengan denda sebanyak RM 5,000  dan dilucutkan status wakil rakyat serta diharamkan dari menjadi pemilih atau calon selama 5 tahun. Perbelanjaan RM 3.5 juta dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir nyata telah melebihi had perbelanjaan RM 100,000 dan wakil rakyat BN yang menang tidak layak menjadi wakil rakyat. Malah perbelanjaan RM 110 juta untuk poster sahaja bermakna hampir semua wakil rakyat BN telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Ini kerana dalam pilihan raya besar 2004, hanya BN sahaja yang bertanding dalam semua 219 kawasan Parlimen dan 445 kawasan negeri. RM 100,000 untuk 445 kawasan negeri dan RM 200,000 untuk kawasan Parlimen menjadikan had maksima perbelanjaan pilihan raya 2004 sebagai RM 88.3 juta. Ini jauh lebih kurang daripada RM 110 juta untuk perbelanjaan poster sahaja yang tidak termasuk perbelanjaan lain seperti makan, minum dan kerja pengundian.

Oleh kerana semua parti pembangkang dan calon bebas yagn lain tidak mungkin mampu belanjakan RM 20 juta atau RM 10 juta, jelas sekali wakil parti BN telah melebih had perbelanjaan dan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang. Undang-undang sedemikian bertujuan mengharamkan amalan politik wang membeli undi. Sekiranya SPR diamkan diri sungguhpun tahu dan boleh ceritakan bahawa undang-undang kesalahan pilihan raya telah dilanggari, ia bukan sahaja menghina undang-undang yang sepatutnya ditegakkan oleh SPR malah ia juga berlawanan dengan semangat demokrasi berteraskan pemilihan bebas tanpa diganggu politik wang beli dan jual undi.

Demi kedaulatan undang-undang dan keluhuran sistem demokrasi berparlimen, SPR harus berani bertindak sungguhpun boleh menyebabkan kerajaan BN diistyiharkan sebagai tidak sah.

Sebarang kegagalan berbuat demikian akan membuktikan SPR bukan lagi bebas, berkecuali adil dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dalam mengendalikan perjalanan pilihan raya secara demokrasi. Perkara ini menjadi lebih penting lagi terutama sekali menjelang pilihan raya besar Sarawak yang akan melibatkan perbelanjaan yang besar. Adakah SPR akan perhatikan sahaja bila had perbelanjaan oleh parti pemerintah melebihi RM 100,000 setiap kawasan negeri?

Lagipun tanggapan SPR berat sebelah lebih menonjol bila cadangan meminda proses perjalanan pilihan raya seperti mengharamkan poster dijalankan tanpa rundingan dengan parti politik pembangkang. Bukankah mengharamkan politik wang lebih penting? Ini menimbulkan keresahan kami samada perjalanan pilihan raya Sarawak akan dijalankan secara adil dan saksama.

Demi ketelusan dan keadilan, data dan maklumat pemilih dan keputusan pilihan raya yang lepas mengikut saluran harus diberikan secara percuma. Mengapa maklumat ini perlu diselindungi seperti rahsia rasmi?

Adalah dikesali SPR tidak mengambil berat langsung tentang kekurangan kebebasan media yang mengongkong kebolehan rakyat membuat pilihan yang bebas. Sungguhpun YB Tan Sri mengakui liputan media kepada parti pembangkang memang tidak adil dan berat sebelah sehingga menyebarkan fitnah, tidak ada sebarang tindakan diambil. Usaha utama SPR ialah untuk memastikan liputan adil diberikan kepada semua parti politik yang bertanding dan mengharamkan amalan politik wang, baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Adalah perlu SPR bertindak mengharamkan politik wang dan menegakkan undang-undang kesalahan pilihan raya menjelang pilihan raya besar sarawak demi memastikan pemilihan demokrasiyang bebas dan mencerminkan slogan cekap dan telus. Sekian.

Yang benar,

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG        

 

(24/03/2006)      


* Lim Guan Eng,  DAP Secretary General

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: