http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Laporan Ke Atas Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof Kerana Menyalahgunakan Kuasanya Dengan Meminta Jabatan Kastam Dan Eksais Untuk “Tutup Sebelah Mata” Dalam Penguatkuasaan Undang-undang Demi Kepentingan Peribadi.


laporan kepada BPR
oleh Lim Guan Eng


(Melaka, Khamis):


Laporan mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof yang dihantarkan oleh Setiausaha Agung DAP kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Melaka pada 11.05.2006

                                                                                                               

Tuan Haji Idris bin Zaharudin,                                                                                      11hb Mei 2006.
Pengarah Negeri Melaka,                                                                                            DENGAN TANGAN
Badan Pencegah Rasuah (BPR),      
Tingkat 2 & 3, Bangunan B.C. Lim,
No. 102, Jalan Taming Sari,
Peti Surat 6000, 75400 Melaka.                                                     

Tuan Haji,

Lapuran Ke Atas Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof Kerana Menyalahgunakan Kuasanya Dengan Meminta Jabatan Kastam Dan Eksais Untuk “Tutup Sebelah Mata” Dalam Penguatkuasaan Undang-undang Demi Kepentingan Peribadi.

Saya ingin membuat lapuran BPR ke atas Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof kerana menyalahgunakan kuasanya dengan meminta Jabatan Kastam dan Eksais untuk “tutup sebelah mata” dalam penguatkuasaan undang-undang demi kepentingan peribadi. Datuk Mohd Said telah meminta Jabatan Kastam dan Eksais pada 14 April 2006 untuk “tutup satu mata” berkaitan dengan balak bergergaji syarikat tertentu yang telahpun dirampas dan melebihi had yang dibenarkan.

Adalah sungguh mengejutkan seorang Ahli Parlimen yang merupakan penggubal undang-undang meminta jabatan kerajaan “tutup sebelah mata” semasa menguatkuasakannya. Pada awalnya Datuk Said menyatakan beliau hanya membantu sebuah syarikat dalam kawasan pilihanrayanya yang menghadapi masalah balak bergergaji yang dirampas.

Semalam beliau mengakui bahawa salah satu syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk balak tersebut adalah Binyu Sof Enterprise, di mana beliau mempunyai kepentingan.  Ini bercanggah dengan kenyataan beliau pada 5 Mei 2006 dalam New Straits Times, Datuk Mohd Said menyatakan beliau tidak ada seberang kepentingan dalam agen syarikat yang membawa masuk balak bergergaji berkenaan. Tetapi hari ini dalam lapuran New Straits Times, beliau mengakui bahawa balak bergergaji yang dibawa masuk oleh Binyu Sof Enterprise telah dirampas oleh Jabatan Kastam dan Eksais.

Carian yang dibuat dalam Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ke atas syarikat tersebut membuktikan Datuk Mohd Said berbohong bila berkata tidak ada kepentingan dalam syarikat terbabit kerana beliau adalah pemilik tunggal Binyu Sof Enterprise. Alamat cawangan syarikatnya adalah sama dengan alamat rumahnya di 676-A, Batu 2 ˝, Padang Temu, 75050 Melaka.

Sekarang Datuk Mohd Said menyatakan beliau adalah pemilik tunggal dan berdolak dalih dengan menyatakan beliau tidak pernah menyembunyi kepentingannya. Jelas sekali dalam masa 5 hari dari tidak ada kepentingan telah bertukar kepada adanya kepentingan. Sungguhpun beliau mungkin bukanlah pemunya balak bergergaji yang dirampas, tetapi beliau mengakui syarikat beliau adalah agen yang menguruskannya.

Perkara sedemikian jelas telah menyalahi dan melanggari lunas dan peruntukan Akta Pencegahan Rasuah 1997 kerana Datuk Mohd Said telah cuba mempengaruhi sebuah jabatan kerajaan daripada menguatkuasakan undang-undang demi faedah dan menfaat peribadi khususnya seksyen 14 dan 15. Seksyen 16 memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 14 hari dan maksima 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM 10,000 mana-mana yang lebih tinggi. Oleh itu ini adalah satu kesalahan serius yang harus disiasat dan diambil tindakan oleh BPR.

Bekas Pengerusi BN Backbenchers Club(BBC) Datuk Shahrir Samad.telah menyatakan BN dan UMNO harus bertindak ke atas Ahli Parlimen Jasin Datuk Mohd Said Yusof selepas mengakui bahawa Binyu Sof Enterprise dimilikinya. Datuk Shahrir berkata sungguhpuh beliau dikatakan telah menyalahi peraturan BN di Parlimen, sekarang beliau dibuktikan betul. Datuk Shahrir telah dipaksa letak jawatan sebagai Pengerusi BBC kerana menyokong usul yang dibentangkan oleh Ketua YB Lim Kit Siang bahawa lapuran New Straits Times mengenai campur tangan Ahli Parlimen dalam tugas Jabatan Kastam dan Eksais dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak Dan Keistimewaan. 

Sungguhpun YAB Perdana Menteri telah menyatakan adalah tidak elok seorang Ahli Parlimen campur tangan dalam urusan sesebuah jabatan kerajaan, Majlis Tertinggi UMNO telah membincangkan kes ini dan membuat keputusan “tidak ada kes”.   Jelas sekali keputusan “tidak ada kes” oleh UMNO dan YAB Perdana Menteri adalah salah dan kini terpulanglah kepada BPR untuk membuktikan kewibawaannya sebagai agensi yang bebas, cekap dan amanah dengan mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Jasin yang jelas melanggari undang-undang.

Yang benar,

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG

                                                            

(11/05/2006)      


* Lim Guan Eng,  Setiausaha Agung DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: