Perdana Menteri mesti menjawab samada keputusan Datuk Mohd Ali Rustam membelakangkan nilai moral dengan menganugerahkan gelaran Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada Hasnoor Sidang Husin, seorang penjenayah pecah amanah dan ekstremis anti-bukan Melayu adalah selaras dengan usaha mendirikan integriti dan memupuk perpaduan negara dalam pentadbiran BN
_____________
Press Statement
by Lim Guan Eng
_________________
(Melaka,
Wednesday):
Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi mesti
menjawab samada keputusan
Ketua Menteri Melaka Datuk
Mohd Ali Rustam
membelakangkan nilai moral
dengan menganugerahkan
gelaran Darjah Mulia Seri
Melaka (DMSM) kepada Hasnoor
Sidang Husin, seorang
penjenayah pecah amanah dan
ekstremis anti-bukan Melayu
adalah selaras dengan usaha
mendirikan integriti dan
memupuk perpaduan Negara
dalam pentadbiran BN. DAP
amat terkejut dengan jawapan
Datuk Mohd Ali di mesyuarat
Dewan Undangan Negeri Melaka
minggu lepas di mana beliau
menyatakan kerajaan negeri
mahu memberikan anugerah ini
beberapa tahun lebih awal
lagi kepada Hasnoor
sungguhpun beliau mempunyai
rekod jenayah.
Pihak Kerajaan negeri telah
menulis surat kepada pihak
polis Melaka yang menjawab
bahawa polis tidak ada
sebarang bantahan terhadap
penganugerahan DMSM dan
terpulang kepada Ketua
Menteri. Apakah keistimewaan
sumbangan Hasnoor kepada
Melaka selain daripada rekod
pecah amanahnya kerana YAB
Ketua Menteri nampak sangat
begitu percaya kepada Hasnoor?
Selain daripada
pengaungerahan gelaran Datuk,
Hasnoor juga dilantik sebagai
Pengarah Bahagian Majlis
Tindakan Ekonomi & Sosial
Bumiputera Negeri Melaka (Penyertaan
Bumiputera) di Pejabat Ketua
Menteri.
Penerima anugerah DMSM perlu
mempunyai sifat mulia dan
kelakuan baik selain daripada
sumbangan terpuji kepada
masyarakat umum di Melaka.
Hasnoor disabitkan kesalahan
pecah amanah di bawah seksyen
409 Kanun Keseksaan dan telah
dijatuhi hukuman 9 bulan
penjara oleh Mahkamah Sesyen
Melaka pada 28 April 1995.
Selepas rayuan ke Mahkamah
Tinggi Melaka terhadap
hukuman berat, pada 16
Oktober 1995 hukuman telah
diringankan kepada 1 hari
penjara dan denda RM 1,500
jika gagal bayar 6 bulan
penjara. Dengan kata lain,
Hasnoor adalah penjenayah
pecah amanah!
Hasnoor juga ditegur keras
oleh YAB Perdana Menteri pada
Disember 2006 kerana membuat
ucapan ekstremis pada
Persidangan Agung UMNO tahun
lepas yang mengancam kaum
bukan Melayu. Dalam siaran
secara langsung di kaca mata
televisyen Hasnoor memberikan
amaran kepada kaum bukan
Melayu bahawa UMNO sedia
mengorbankan nyawa dan
bermandi darah untuk
mempertahankan bangsa dan
agama.
Abdullah mesti tegas bahawa
mereka yang ada rekod jenayah
dan juga sejarah ekstremis
berbau kaum anti-bukan Melayu
tidak layak dianugerahkan
dengan DMSM. Adalah penting
Hasnoor tidak memberikan
gambaran palsu bahawa gelaran
Datuk diberikan juga kepada
penjenayah ataupun adalah
hadiah kepadanya kerana
membuat ucapan anti-bukan
Melayu. Oleh itu Abdullah
mesti mengarahkan Ali bila
Perdana Menteri membuat
lawatan rasmi pada1.12.2007
untuk menarik balik gelaran
Datuk ini daripada Hasnoor
demi mempertahankan nilai dan
nama baik Datuk. Kalau tidak,
ramai orang muda tidak takut
melakukan kes jenayah kerana
tahu 12 tahun kemudian, semua
kesalahan dan jenaya ini
boleh dilupakan malah
dimaafkan dengan
penganugerahan gelaran Datuk.
(28/11/2007)
* Lim Guan
Eng,
Secretary-General of DAP |