red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Selasa, 7 Julai 2009:

Usul tergempar membahas Istana Khir Toyo

Saya telah menghantar satu usul kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk membahas satu usul tergempar, iaitu usul untuk membawa satu perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan di bawah Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 17(1) pada 8 Julai 2009 hari Rabu seperti yang berbunyi di bawah:

Bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1), Dewan ini memberi laluan kepada Yang Berhormat ADUN Kampung Tunku untuk membawa satu usul berkenaan perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan, iaitu: Kediaman Ketua Pembangkang YB ADUN Sungai Panjang di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 Shah Alam mencetuskan kontroversi bagaimana beliau boleh mengumpul kekayaan yang begitu banyak untuk memiliki rumah tersebut.

Rakyat negeri Selangor sekali lagi digemparkan dengan satu lagi kes penyelewengan berkenaan dengan rumah mewah yang dimiliki YB Sungai Panjang, sekaligus menimbulkan persoalan bagaimana YB Sungai Panjang yang pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor dapat membiayai rumah yang begitu mewah dengan pendapatan yang tidak setimpal dengan kos pembinaan rumah mewah tersebut.

Rumah yang dimiliki oleh YB Sungai Panjang ini didirikan di atas kawasan seluas 50,000 kaki persegi. Anggaran kos pembinaan rumah itu ialah RM20 juta, manakala harga tanah ialah RM3.8 juta.

Dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian Selangor menunjukkan bahawa YB Sungai Panjang dan isterinya membeli secara bersama tanah tersebut dari Ditamas Sdn Bhd pada 2007.

Rumah YB Sungai Panjang ini, sekarang lebih dikenali sebagai ‘Istana Khir Toyo’, dikatakan dibina berdasarkan gaya ala-Bali dengan bahan-bahan pembinaan yang diimport dan mahal-mahal belaka. Ianya juga jauh lebih besar daripada “Istana Zakaria” yang mencetuskan kontroversi pada 2006.

Biarpun YB Sungai Panjang mengatakan bahawa beliau hanya membeli rumah itu dengan pinjaman RM3.5 juta daripada sebuah bank asing dan kemudiannya membelanjakan RM500,000 lagi untuk menukar bumbungnya, sebagai bekas menteri besar, beliau mesti menjelaskan bagaimana beliau mampu membiayai pembinaan rumah tersebut. Harus diingat, pendapatan seorang Menteri Besar ialah RM576,000 setahun dan oleh itu, YB Sungai Panjang tidak mungkin dapat mengumpulkan wang yang cukup untuk membayar kosnya sebanyak RM24 juta.

Persoalan tertimbul samada amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan telah berlaku dalam kes ini? Apakah yang akan diambil oleh SPRM untuk menghukum mereka yang berasuah? Persoalan juga tertimbul bagaimana kerajaan sekarang dapat menyekat perkara ini daripada berulang.

Sebagai pembawa usul, saya akan membawa usul ini untuk dibahas pada sebelah jikalau Tuan Speaker membenarkan usul ini untuk dibahaskan pada 8 Julai 2009.

Saya berharap Dato’ Seri Dr Khir Toyo juga boleh turut menyertai perbahasan usul ini pada hari esok untuk menjelaskan segala tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan kepadanya. Mengikut pengalaman saya, kehadiran ADUN-ADUN BN di sidang DUN pada sebelah petang selalunya amat mengecewakan. Maka jikalau beliau memang tidak bersalah, saya tidak menampak apa-apa sebab untuk Dr Khir Toyo untuk tidak menyertai perbahasan ini. Sememangnya ini merupakan peluang terbaik untuk beliau membela dirinya sendiri.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional