red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media Liew Chin Tong di Penang pada Khamis, 23 July 2009:

Kematian Teoh Beng Hock penuh tanda tanya

Kematian Teoh Beng Hock semasa disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor mengejut dan penuh tanda tanya.

Saya telah menyoal Menteri Dalam Negeri, untuk menyatakan kematian dalam lokap dan penjara sejak tahun 1999, serta minta penjelasan daripada sebab-sebab kejadian setiap kes. Adakah setiap kes tersebut disyaratkan dengan laporan coroner disiapkan.

Munurut jawapan daripada Menteri semasa sesi parlimen Mac 2009, rekod Jabatan Penjara menunjukkan semenjak tahun 1999 hingga 2008, sejumlah 2,571 tahanan penjara, pusat pemulihan akhlak dan depot PATI (tahun 2002 hingga 2007 masih di bawah pengurusan Jabatan Penjara) telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit. Manakala kes-kes kematian dalam tahanan polis bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 153 kes.

Menurut jawapan parlimen, daripada jumlah 2,571 tahanan yang telah meninggal dunia di institusi penjara, sebanyak 98.7% atau 2,536 kematian tersebut berlaku di hospital iaitu semasa penghuni berkenaan sedang menerima rawatan, 0.8% atau 22 kematian berlaku ketika dalam perjalanan ke hospital dan 0.5% atau 13 kematian berlaku di institusi penjara.

Berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan, semua kes kematian tahanan telah dibuat laporan polis, dijalankan siasatan, dilaksanakan coroner inquest, dan dimaklumkan kepada ahli keluarga.

Menurut Laopran Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, terdapat seramai 80 orang mati dalam lokap dan tahanan polis pada tahun 2000 hingga 2 September 2004.

Suruhanjaya tersebut dapat banyak aduan bahawa ahli keluarga dan saudara mara orang yang mati dalam tahanan polis tidak diberitahu dengan segera tentang tangkapan, penahanan dan kematianya. Ahli keluarga mangsa juga tidak mengetahui dimana orang yang mati dalam tahanan polis itu berada sehingga selepas kematiannya.

Di samping itu, selepas bedah siasat, laporan ahli patologi tidak diberi kepada saudara orang mati dalam tahanan polis.

Oleh itu, saya minta kerajaan memberi perhatian kepada perkara ini dan mengubahsuaikan sistem penyiasatan dan memberi penjelasan yang lengkap kepada ahli keluarga mangsa.


* Liew Chin Tong, Setiausaha Biro Antarabangsa & Ahli Parlimen Bukit Bendera

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional