red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan media oleh Nga Kor Ming di Ipoh pada hari Isnin, 31hb Mei 2010:

Judi rosakkan negara, DAP Perak mencabar Zamry nyatakan pendirian lesen judi bola

Demi membela kepentingan masyarakat dan menjaga keharmonian institusi keluarga, DAP Perak hari ini mencabar Kerajaan Negeri Perak pimpinan UMNO menyatakan pendirian rasmi terhadap pengeluaran lesen judi bola yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Bin Tun Razak.

DAP mengecam sikap Menteri Besar Perak, Dato Seri Zamry Bin Abdul Kadir yang sehingga kini masih memilih untuk membisu seribu bahasa dalam isu ini walaupun menerima bantahan dari pelbagai pihak.

DAP Perak menegaskan sikap UMNO yang meluluskan aktiviti perjudian bola terbukti jelas UMNO kini sudah menjadi sebuah parti politik yang hipokrit dan tidak berprinsip.

UMNO kononnya mendokong Islam, tetapi menggalakkan judi bola, sudah tiba masa masyarakat insaf dan menilai semula parti sedemikian.

Negeri PAKATAN RAKYAT larang judi bola

DAP Perak menegaskan bahawa 4 negeri kerajaan PAKATAN RAKYAT, iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor telah membuat keputusan muktamad menghalang aktiviti perjudian bola yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Syarikat Ascot Sports Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang mempunyai kaitan rapat dengan Berjaya Corporation. Kerajaan Tempatan termasuk Majlis Perbandaran Petaling Jaya juga telah memutuskan supaya tidak akan membenarkan sebarang lesen dikeluarkan kepada mana-mana pihak untuk bangunan mereka dijadikan pusat judi bola.

Adalah dijangka jika perjudian bola dihalalkan, jumlah wang judi yang akan dikutip adalah dianggarkan sebanyak RM9 bilion setiap tahun, kegiatan sedemikian akan memberi impak negatif yang besar kepada masyarakat dan membawa kesan sampingan yang buruk kepada keluarga khususnya kepada generasi remaja yang merupakan harapan negara.

Sekarang judi bola sepak, barangkali waktu depan judi badminton, judi hoki, judi tennis semua boleh judi, bayangkanlah akibatnya.

Kerajaan persekutuan memberi alasan pengeluaran lesen judi bola bertujuan untuk mengawal kegiatan judi haram dan ia bertujuan menambah hasil cukai kerajaan sebanyak RM500 juta setahun. Dalihan-dalihan sedemikian adalah jelas meleset. Kita lihat kegiatan judi nombor empat ekor, setelah dihalalkan, adakah ia kini berjaya menghapuskan sindiket perjudian bawah tanah? Adakah kerajaan BN kini sudah hampir muflis dan oleh itu terpaksa bergantung kepada hasil cukai judi untuk membangunkan Negara?

Sebuah masyarakat yang ketagihan judi adalah sebuah masyarakat yang tidak mempunyai daya saing dan produktiviti, ia juga menjejaskan falsafah pendidikan negara yang bertujuan mendidik modal insan yang bermoral. DAP mencabar Dato Seri Zamry menyatakan pendirian rasmi Kerajaan Negeri Perak atas soal judi bola dalam tempoh terdekat kerana sikap membisu seribu bahasa menampakkan sikap Zamry yang tidak bertanggungjawab dan jelas terbukti pimpinan tanpa hala tuju.


* Nga Kor Ming, Setiausaha DAP Perak & Ahli Parlimen Taiping

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional