red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan penggulungan oleh YB Exco Ean Yong Hian Wah di Dewan Undangan Negeri pada hari Khamis, 11hb November 2010:

Ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri

Terima kasih kepada yang berhormat sekalian yang memberi perhatian ke atas pembangunan kampung baru/bagan/tersusun di negeri Selangor.

Untuk makluman yang berhormat sekalian, kerajaan negeri akan terus fokus ke atas dua isu utama yang dihadapi oleh penduduk kampung baru/bagan/ tersusun, iaitu masalah tanah dan infrastruktur.

Walaupun kampung baru telah wujud di Selangor selama 60 tahun, dan kampung bagan juga menpunyai sejarah melebihi 100 tahun. Namun, masih ada sebahagian besar penduduk kampung tidak memiliki hakmilik tanah kediaman mereka.

Oleh itu, kerajaan negeri telah mengadakan satu dasar iaitu akan memberi hakmilik tanah kepada penduduk kampung yang menduduki tanah kerajaan selama 15 tahun dan memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, dalam dua tahun ini, Kerajaan Negeri telah menyelesaikan masalah tanah di beberapa kampung di Negeri Selangor.

Ini termasuk, Kampung Bukit Angkat- 22 hakmilik baru, Kampung baru Tarun Broga- 160 hakmilik baru, Kampung Bagan Sekinchan- 183 hakmilik baru, Kampung Baru Gurney- 30 hakmilik baru dan Kampung Baru Damai, Serendah- 12 hakmilik baru. Hakmilik secara berkelompok bagi beberapa kampung seperti Kampung Baru Seri Dengkil, Kampung Baru Kundang, Kampung Seri Indah A, Kampung Sungai Makau juga sedang dalam proses penyediaan kertas laporan untuk pertimbangan dan kelulusan.

Tuan Speaker, suatu laman web kampung baru negeri Selangor yang dinamakan "i-kg baru" telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar pada bulan Oktober yang lalu.

Laman web "i-kg baru" ini diterbitkan dengan Bahasa Mandarin, Melayu serta Inggeris yang menghuraikan pelbagai isi kandungan seperti latar belakang pembentukan serta sejarah kampung, berita kampung, sekolah dan persatuan dalam kampung, tarikan dan keunikan kampung dan sebagainya.

Tujuan kita mencipta laman web ini adalah untuk memperkenalkan wajar sebenar kampung baru kepada penduduk di kampung baru, rakyat di Selangor ataupun kepada dunia.

Kita juga berhasrat menjadikan laman web ini sebagai satu portal komunikasi di antara penduduk tempatan, kerajaan dan pihak yang berkaitan. Melalui laman web ini, kita juga boleh mempromosikan produk dan keunikan kampung baru untuk mempertingkatkan taraf ekonomi penduduk kampung.

Saya ingin menjemput Yang Berhormat Sekalian untuk melayari www.i-kgbaru.com.

Tuan speaker, selain daripada pembangunan fizikal seperti penambahbaikan infrastruktur di kawasan kampung, Kerajaan Negeri juga menganjurkan Program "Riang Ria Membaca" di 12 Kampung Baru/Bagan/Tersusun tahun ini setelah berjaya menganjurkan satu siri pameran foto kenangan di 8 kampung baru pada tahun lalu. Tujuan program Riang Ria Membaca ini adalah untuk memberi galakan kepada generasi muda untuk mencari ilmu melalui cara kreatif.

Program ini telah mendapat sambutan baik daripada kalangan ibu bapa dan para peserta. Kita mempunyai rancangan untuk meneruskan program ini pada tahun depan.

Sekian.


* Ean Yong Hian Wah, Selangor Exco

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional